suria

Bayi Lelaki Masih Bertali Pusat Ditemui Di Taman Permainan Di Klang

SHAH ALAM: Seorang bayi lelaki masih bertali pusat dan tidak berpakaian ditemui di taman permainan Kota Bayu Emas, Klang dekat sini, pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Azman Abdul Razak berkata, bayi berkenaan ditemui di sebuah pondok di taman permainan tersebut oleh seorang pekerja kilang yang melalui kawasan itu untuk ke tempat kerja kira-kira 8 pagi.

"Dia kemudian memaklumkan mengenai penemuan bayi yang masih bertali pusat itu kepada penduduk setempat sebelum penduduk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Azman berkata, polis percaya bayi lelaki itu baru dilahirkan berikutan terdapat kesan darah pada badan bayi.

Katanya, bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut.

Azman berkata polis sedang mengesan suspek yang terlibat termasuk mendapatkan keterangan saksi dan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu juga diminta melaporkannya kepada polis," katanya. -- Bernama

Kota Bayu Emas, bayi

Artikel Lain