KUALA KUBU BAHARU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu, Jashiah Rabu yang masuk hari ke-10 ditingkatkan dengan penggunaan alat mengesan haba badan 'Thermal Camera'. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R. Supramaniam berkata penggunaan alat itu mampu mengesan haba badan manusia sejauh 500 meter. "Alat ini dapat mengesan haba dengan efektif dan kita harap ia dapat membantu mengesan Jashiah," katanya kepada pemberita di pusat operasi SAR di Kampung Buluh Telur dan Bukit Kutu, di sini, Rabu. Wartawan Bernama yang berada di lokasi sehingga operasi harian SAR berhenti rehat pada pukul 5.30 petang, dimaklumkan anggota pencarian masih belum menemui tanda positif hasil penggunaan alat itu hari ini. Supramaniam berkata seramai 74 anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bombadan Penyelamat, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, malim gunung dan Pegawai Pendidikan Daerah terlibat dalam SAR hari ini. Beliau berkata operasi SAR hari ini dibahagi kepada tiga sektor dengankawasan pencarian meliputi pinggir Bukit Kutu dan kawasan kebun kelapa sawit, di sini dengan keluasan dua kilometer radius. Mengenai penemuan sehelai baju tidur, pakaian dalam, kapas dan pisau kira-kira dua kilometer dari pusat operasi hari ini, Supramaniam berkata masih terlalu awal untuk mengesahkan barangan itu milik mangsa. "Kita sedang menggunakan Unit Anjing Pengesan untuk mengesahkan sama ada barangan berkenaan milik mangsa atau tidak," katanya. Jashiah, 53, kali terakhir dilihat jirannya keluar dari rumahnya pada 23 Oktober lalu dan apabila suaminya Ruzilan Omar, 57, pulang didapati pintu rumah mereka terbuka dan Jashiah tiada di rumah. Difahamkan, Jashiah menghala ke kawasan hutan simpan Bukit Kutu selepas keluar daripada rumahnya di Taman Seri Seruling dengan berjalan kaki dan menumpang kereta orang lain sejauh kira-kira 10 kilometer.