suria

Mek Yam Tinggalkan Kenangan Abadi

ASSALAMUALAIKUM.  Pada jam 11.30 pagi waktu tempatan iaitu 18 September 2015, bas tiba di pejabat maktab 68 di Makkah. 

Sebahagian besar jemaah turun kerana cuaca panas terik menyebabkan alat penghawa dingin yang dipasang tidak begitu terasa. Saya termasuk salah seorang yang turut keluar dari bas berkenaan.

Pejabat itu menjadi lokasi untuk mengambil tag nama dan gelang yang bakal digunakan oleh jemaah haji sepanjang di Arafah, Muzdalifah dan Mina. Disebabkan hari itu adalah Jumaat, laluan ke sekitar Masjidil Haram ditutup awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, yang boleh menjejaskan kelancaran jemaah untuk menunaikan solat Jumaat.

Justeru, bukan kami sahaja yang berhenti di pejabat itu malah jemaah haji dari agensi pengendali haji yang lain turut berhenti di tempat yang sama. Kami ditempatkan di dalam sebuah ruang pejabat yang selesa dan berhawa dingin.

Jemaah perempuan dan lelaki duduk berasingan. Ketika kami sedang berbual sesama jemaah ketika itu, muncul beberapa wanita menolak seorang jemaah wanita yang kelihatan layu tidak bermaya di atas kerusi roda.

Kepalanya terlentuk. Tubuhnya sungguh lesu. Wajahnya sangat pucat. Semua mata tertumpu kepadanya yang muncul secara tiba-tiba. Dia seolah-olah hampir pengsan. Yang pasti, semua jemaah ketika itu sedia menghulurkan bantuan kepadanya walaupun tidak mengenali gerangan jemaah berjubah serba hitam dan bertelekung putih.

Semua jemaah membantu mengangkat dan mengalihkan beliau yang kami tidak tahu nama dan asal usulnya. Keadaan menjadi agak cemas seketika melihatkan tubuh lesu tidak berdaya di hadapan kami semua. 

“Jangan halang alat penghawa dingin daripada terkena padanya. Tolong kipas…,” pinta seorang jemaah wanita.

Semua akur memberi ruang kepada wanita yang baru dialihkan dari kerusi roda ke atas permaidani berwarna coklat dan hijau. 

“Mohon beri bantuan kepadanya. Mungkin dia kena heat strok. Dia hampir pengsan,” kata wanita yang turut bersama-samanya di dalam rombongan berkenaan dengan penuh tegas.

“Mungkin juga dia lapar kerana tadi kami lama di terminal haji dan dia tidak makan apa-apa,” ujar seorang lagi jemaah wanita yang hanya saya dengar suaranya saja.

“Ada doktor ke di kalangan jemaah kita?” tanya saya.

“Ada. Ada…,” seorang jemaah menjawab.

“Tolong, tengokkan jemaah ini. Kesian sangat dia…” pinta saya.

Sejurus itu muncul seorang wanita yang mengatakan beliau adalah doktor perubatan.  Selang beberapa minit datang lagi seorang jemaah wanita yang memperkenalkan dirinya juga doktor.

“Alhamdulillah,” ujar saya spontan.

Kami duduk di sisi wanita yang sedang terbaring lesu. Doktor pula memegang pergelangan tangannya.

“Buka telekung. Mungkin jemaah ini panas,” ujar seorang jemaah yang hanya saya dengar suaranya saja ketika itu. Saya tidak sempat menoleh atau memalingkan wajah saya daripada wanita yang sedang  terkapar di depan saya.

Ada yang membuka telekung dan ada yang membuka stoking.

“Eh kita tak boleh buka telekung dan stoking dia. Dia dalam ihram. Macam kita juga…” ujar saya pula secara tiba-tiba yang teringat semua jemaah dalam ihram.

“Oh ye. Betul tu,” sambut beberapa jemaah.

Saya menyarungkan telekung di kepala wanita itu manakala jemaah lain memakaikan stoking ke kaki jemaah berkenaan.

Doktor pula memegang wajahnya dan membuka mulutnya untuk mengeluarkan gigi palsu sebelum menyuapkan sedikit gula dan air ke dalam mulut wanita berkenaan.

Kelihatan ada respons daripada jemaah itu pada peringkat awal. Dia menelan air dan gula pasir yang diberi sedikit kepadanya.

Beberapa minit kemudian, wajahnya kelihatan lain. Sukar untuk saya gambarkan.  Lantas saya tanya pada doktor di depan saya.

“Boleh buat CPR ke doktor pada dia. Nampak dia lemah sangat,” tanya saya.

Doktor mengangguk dan terus melakukan CPR kepadanya.

“Panggil ambulans…” terdengar suara seorang jemaah melontarkan pandangan.

Jemaah lelaki yang baru tiba dan tidak berkesempatan untuk ke masjid untuk bersolat Jumaat pada masa itu mengatakan sukar bagi ambulans untuk datang dalam masa singkat kerana beberapa jalan ditutup dan tentu sekali mengambil masa.

Semua terdiam seketika. Seorang lagi doktor perubatan muncul di depan kami dan memegang pergelangan tangan jemaah wanita itu. Beliau turut menyuluh mata wanita itu manakala seorang doktor terus melakukan CPR.

“Doktor…saya lihat dia dah lainlah. Kesian dia jika buat CPR terus…”ujar saya.

“Tak mengapa…CPR dapat membantu…,” tegas beliau.

Saya memegang tangan wanita itu dan sambil memgang kakinya yang telah sejuk.  Tangannya juga kian sejuk. Saya memegang tanggannya dan mengucap kalimah Lailahaillah…

Berkali-kali saya ucapkan kalimah itu dan saya lihat bibirnya bergetar. Tatkala melihat matanya hanya memandang ke satu arah sahaja, saya hanya mengajarnya menyebut Allah….Allah…

Dia semakin lemah. Matanya kian terpejam. Kaki dan tangannya sejuk. Innalillahi wainna ilahirojiun. 

Suasana hiba sebaik Mek Yem menghembuskan nafas terakhir di Makkah.

Beliau kembali kepada Pencipta pada kira-kira jam 12.50 tengah hari, pada penghulu hari dan tatkala di dalam ihram.

Semua terpaku memandangnya. Hanya lafaz Innalillahi wainna ilaihirojiun terbit daripada mulut kami yang menyaksikan detik itu. Di sudut kepalanya duduk seorang wanita yang tidak berganjak dari mula jemaah itu diletakkan di atas permaidani. Beliau adalah adik kepada wanita itu. 

“Jemaah ini datang dengan siapa?” tanya seorang daripada  jemaah.

“Saya adik dia. Mek Yam nama kakak saya…” katanya sebak.

Beliau menangis semahu hati selepas itu.  Kami menenangkannya.

“Dia ada sakit ke?” tanya seorang lagi jemaah.

“Tak ada sakit apa-apa. Dia suka sangat nak datang ke Makkah untuk tunai haji,” ujar adik arwah dengan tangisan.

“Sabar kak, sabar. Allah pilih dia meninggal dunia di tempat paling suci dan pada hari Jumaat. Arwah dalam ihram,” kata saya sebak sambil memeluk adik arwah.

Beliau sekadar mengangguk dan mengesat air mata.

“Suami dan anak-anak tak ikut ke?” tanya saya.

“Kami datang dua beradik. Suami saya ada sekali,” ujar adiknya.

Kira-kira 20 minit kemudian, muncul anak saudara lelaki arwah dengan linangan airmata tatkala menatap wajah emak saudaranya. Beliau menghubungi ambulans untuk menguruskan jenazah emak saudaranya.

Anak saudara arwah fasih berbahasa Arab dan adalah seorang daripada petugas haji sebuah agensi pengelola jemaah haji di Malaysia.  Sebak melihat anak saudara arwah yang tidak mampu menahan emosi sejurus berdiri di depan jenazah emak saudaranya  yang menghembuskan nafas terakhir di Tanah Suci Makkah.

“Jemaah Destinasia boleh menaiki bas semula,” kedengaran suara Pengurus Jemaah, Haji Masrol Apandi.

Sebelum berlalu pergi saya bersalam dengan adik arwah dan menasihatkannya agar bersabar. Dalam masa yang sama saya menoleh ke kiri dan menatap wajah arwah yang kelihatan sungguh tenang dan berseri-seri. Jauh berbeza ketika kali pertama dia muncul di khalayak kami di atas kerusi roda.

“Jernih air mukanya. Berubah dalam masa beberapa minit sahaja…” detik hati saya sebelum berlalu pergi.

Senang sekali arwah kembali ke rahmatullah. Dalam beberapa ketika itu sahaja dia pergi buat selama-lamanya meninggalkan pengajaran dan iktibar kepada setiap yang menjadi saksi ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.

Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosanya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau bersama-sama golongan bertakwa. 

Saya melangkah keluar dari ruang yang menempatkan jenazah Mek Yam dan yang pasti peristiwa itu meninggalkan kenangan abadi untuk saya dalam perjalanan ibadat haji. Tiba di paras bawah bangunan pejabat itu, seorang wanita mendakap erat tubuh saya dengan kata-kata yang meninggalkan kesan mendalam dalam diri saya.

Saya tidak mampu melafazkan sebarang kata dan hanya airmata membasahi pipi saya. Ketika berjalan menuju ke bas, hati saya berkata-kata: “Ada hikmah tersadai 12 jam di terminal haji kerana dipilih oleh Allah untuk berada di sisi Mek Yam dan mengajarnya mengucap kalimah Allah sebelum beliau pergi untuk selama-lamanya.” 

Ikuti catatan pengalaman saya setelah tiba di Tanah Suci Makkah dan persiapan sebelum berangkat ke Arafah dalam artikel minggu hadapan, insyaAllah.

maktab, Makkah, Masjidil Haram, Mek Yem

Artikel Lain