KOTA KINABALU: Satu siasatan sedang giat dijalankan mengenai bagaimana telur penyu dihidangkan pada majlis makan malam yang dihadiri oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada akhir Ogos lalu. Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, William Baya berkata, siasatan berhubung insiden masih dijalankan. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sekiranya pengendali restoran makanan laut yang menjadi lokasi makan malam berkenaan pada 29 Ogos lalu telah disoal siasat. Gambar yang tersebar itu menunjukkan Ismail Sabri di restoran tersebut yang duduk semeja dengan Ketua Umno Bahagian Beluran, Datuk James Ratib. Pada majlis itu, sejumlah telur penyu dihidangkan di atas meja yang menempatkan Ismail dan James. Penyu merupakan spesis yang dilindungi di bawah Enakmen Hidupan Liar Sabah 1997. Menjadi satu kesalahan untuk menjual atau memakan spesis atau produk seperti telur. Mereka yang terlibat akan dikenakan denda RM50,000, penjara lima tahun atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah. Gambar makan malam itu menjadi viral di sosial media sehingga mencetuskan bantahan di kalangan aktivis pemuliharaan di sini. Pada Khamis, Ismail Sabri berkata, beliau tidak memakan telur penyu berkenaan atas faktor kesihatan.