PONTIAN: Biro Penerangan Umno akan mengadakan Majlis Penerangan Perdana berhubung tiga isu utama negara pada 14 Nov di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Majlis itu yang pertama kali dianjurkan itu menyasarkan kehadiran 191 ketua-ketua bahagian Umno dan 1,000 anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara. Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, antara isu akan disentuh ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTPA) dan Bajet 2016. "Ketiga-tiga isu akan disampaikan masing-masing oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. "Masing-masing diberi masa sejam setengah untuk bercakap dan menjawab soalan dalam dialog terbuka dan saya kira ini peluang terbaik untuk semua pihak mendengar penjelasan mereka," katanya. Ahmad memberitahu demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Peralatan Skim Ronda Sukarela (SRS) dan wang pendahuluan pembiayaian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 63 pelajar dalam kawasan Parlimen Pontian, di sini Khamis. Katanya majlis penerangan itu yang bermula pada pukul 8.45 pagi turut dibuka kepada pihak pembangkang yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang ketiga-tiga isu. - BERNAMA