NEW YORK: Menjelang kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama ke Malaysia, diplomat tertinggi Jabatan Negara bagi Asia Timur dan Pasifik memberi sokongan padu kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang teks penuhnya dikeluarkan secara rasmi pada Jumaat lepas untuk penelitian awam. Rundingan TPPA dimuktamadkan di Atlanta, Georgia, baru-baru ini. Penolong Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Daniel Russel berkata kunjungan Obama itu sebagai sokongan AS kepada institusi serantau Asia yang bertujuan meningkatkan keselamatan dan kemakmuran serta strategi AS untuk pengimbangan semula rantau Asia Pasifik dalam semua dimensi. Presiden akan berada di Filipina dan Malaysia untuk menyertai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Sidang Kemuncak Asean-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur. "Penglibatan kami dengan Asean menggalakkan trend ke arah pembaharuan yang membantu 10 negara anggota ke arah integrasi ekonomi. "Antara manfaatnya ialah forum terbuka berdasarkan peraturan yang diberi nafas baharu -- seperti APEC, dan baru-baru ini Sidang Kemuncak Asia Timur -- yang mewujudkan rangka kerja institusi untuk menggalakkan keamanan dan kemakmuran di rantau ini. "Dan paling terbaru, lima tahun rundingan intensif telah membuahkan hasil dengan muktamadnya rundingan TPPA," katanya kepada Bernama. Ternyata, menangani galeri domestik, Russel menyifatkan TPPA sebagai 'perjanjian perdagangan' yang akan menyokong 'pekerjaan dengan pendapatan tinggi dan mengukuhkan kelas pertengahan AS dengan pelbagai cara. "TPPA menetapkan peraturan baharu untuk hubungan ekonomi dalam industri yang terutamanya kukuh. Ia akan mengurangkan subsidi kepada perusahaan milik negara di luar negara yang menjadikan perniagaan kurang kompetitif," katanya. Russel menggambarkan TPPA sebagai perjanjian strategik, amat penting kepada strategi Pengimbangan Semula Obama. Berdasarkan kepada penyertaan Presiden dalam Sidang Kemuncak APEC di Manila, diikuti penyertaan beliau dalam Sidang Kemuncak Asia Timur dan mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin Asean di Kuala Lumpur, Russel berkata: "Kami telah melabur di Asean, melalui penyertaan tetap Obama dalam sidang kemuncak itu, dengan menghantar duta sepenuh masa dan melalui bantuan kepada Asean." Kini, pada tahun kesepuluh, Sidang Kemuncak Asia Timur merupakan forum pemimpin utama untuk membincangkan isu-isu politik dan keselamatan. "Sidang Kemuncak itu adalah bukti kepada kuasa bersidang Asean. Ia menghimpunkan 10 buah negara Asean dan lapan rakan dialog, termasuk AS, China dan India, untuk perbincangan yang meluas mengenai isu-isu utama," katanya.-- Bernama