TAPAH: Beberapa buah lori dilihat memasuki lokasi kejadian pembunuhan kejam di Jalan Pahang di sini untuk membawa keluar komponen kenderaan dari bengkel milik empat suspek yang ditahan reman sehingga Khamis depan. Sekumpulan pekerja dilihat berada di lokasi kejadian seawal pukul 11 pagi Sabtu dengan memindahkan komponen dari sebuah kenderaan pacuan empat roda, Pajero dan beberapa kereta lama dari bengkel tersebut ke dalam sebuah lori. Pekerja tersebut enggan mendedahkan punca mereka membawa keluar kenderaan tersebut dan enggan memberitahu dari mana mereka datang. Menurut sumber polis, kontraktor terbabit diupah untuk memindahkan komponen kenderaan kepada pemilik asal yang menghantar kenderaan mereka ke bengkel itu untuk dibaiki. Sumber turut berkata pegawai yang berpakaian biasa berada di tempat kejadian untuk memantau kontraktor tersebut. Pada Isnin lalu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan mengesahkan polis menahan empat sekeluarga di sebuah rumah di Jalan Pahang, Tapah kira-kira pukul 1.30 tengah hari. "Pasangan suami isteri yang ditahan itu berusia 57 (suami) dan 54 tahun (isteri) manakala dua anak lelakinya masing-masing berusia 20 dan 17 tahun. "Suspek berusia 57 tahun itu bekerja sebagai mekanik manakala isterinya seorang suri rumah. Sementara itu, anak lelaki yang berumur 20 tahun bekerja sebagai mekanik dan seorang lagi tidak mempunyai pekerjaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini Isnin. Pada Jumaat, tempoh reman keempat-empat suspek dilanjutkan selama tujuh hari lagi oleh Mahkamah Majistret di sini untuk membantu siasatan dalam kes pembunuhan kehilangan peniaga alat ganti Ng Chor Kee yang hilang sejak Jun lalu. Kesemua suspek pada mulanya direman selama 11 hari berikutan dipercayai terbabit dengan kehilangan broker tanah, Jasbeer Singh yang hilang pada Ogos lalu.