KUANTAN: Padah menghina anggota polis di laman sosial Facebook, seorang lelaki ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Teluk Sisek di sini awal pagi Sabtu, kurang sejam selepas selepas memuat naik status berkenaan. Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata lelaki berusia 23 tahun yang berasal dari Permatang Badak, Bukit Rangin di sini sebelum itu disaman dalam satu sekatan jalan raya atas kesalahan mengubahsuai ekzos oleh seorang anggota polis trafik wanita kira-kira pukul 12.30 tengah malam. "Suspek yang memandu kenderaan Proton Satria Neo bagaimanapun dilaporkan tidak berpuas hati dengan tindakan itu dan telah memuat naik status menghina anggota polis wanita berkenaan dalam laman sosial tersebut. Tindakan itu kemudiannya disedari oleh salah seorang anggota polis dan telah memaklumkan perkara itu kepada anggota polis trafik wanita berkenaan, " katanya Kepada pemberita di sini. Abdul Aziz berkata suspek yang tidak menyedari perbuatannya itu telah diketahui, melalui sekali lagi sekatan jalan raya tersebut dipercayai untuk pulang ke rumahnya. Lelaki itu kemudian ditahan dengan bantuan beberapa anggota polis lain sebelum dibawa ke Balai Polis Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. "Kita akan menyerahkan kes berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Malaysia) untuk tindakan lanjut," katanya. Dalam masa yang sama Abdul Aziz turut menasihati pengguna laman sosial supaya tidak memuat naik kata-kata kesat atau komen menghina pihak berkuasa untuk mengelakkan mereka dikenakan tindakan.