PETALING JAYA: Sekumpulan anggota polis dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) datang ke pejabat The Star pada pagi Sabtu berikutan laporan berkaitan perpindahan timbalan pendakwa raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini. Mereka terdiri daripada empat anggota polis dan dua pegawai SKMM. Pasukan penyiasat itu tiba di Menara Star di sini kira-kira pukul 10.55 pagi susulan laporan berkaitan DPP, Ahmad Shazalee Abdul Khairi yang didakwa diarahkan berpindah secara tiba-tiba. The Star menyiarkan beberapa laporan berhubung dakwaan perpindahan itu. Wartawan yang menulis laporan tersebut turut ditanya beberapa soalan awal oleh pasukan penyiasat itu. Pasukan penyiasat itu dijangka datang semula ke pejabat The Star pada Isnin untuk mengambil keterangan daripada wartawan dan merampas komputer yang digunakan bagi menulis laporan tersebut. Ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah. Terdahulu, ketua pengarang dan pengarang berita Malaysiakini disiasat berhubung perkara yang sama. Dalam laporannya, Malaysiakini mendakwa, seramai 10 pegawai dan anggota SKMM serta polis telah merekod keterangan pengarang tersebut. Pada Isnin lalu, portal berita pro-pembangkang itu melaporkan seorang pendakwa raya SPRM yang terbabit dengan penahanan beberapa saksi penting secara mengejut dipindahkan serta-merta. Malaysiakini dipetik berkata pegawai itu adalah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Shazalee Abdul Khairi. "Beliau sebelum ini, ditahan oleh pihak polis pada awal pagi 1 Ogos lalu dan ditahan di sebuah lokap serta rumah dan pejabatnya digeledah.