ALOR SETAR: Mayat seorang pelajar tahun tiga dikhuatiri lemas selepas terjatuh di Sungai Kubang Rotan, Kuala Kedah pada Sabtu telah ditemui pada 10.50 pagi Ahad. Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Penguasa Bomba Abdul Razak Ahmad berkata mayat Mohd Wafi Abu Bakar, 9, ditemukan kira-kira 100 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh. "Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan tertiarap di bawah rimbunan pokok buluh oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani," katanya pada Ahad. Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat, katanya. Beliau berkata operasi menyelamat turut disertai 19 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis serta penduduk kampung. - BERNAMA