KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin terhadap tuduhan mengangkut barangan larangan import iaitu rokok putih yang ditaksir bernilai RM60,000 pada minggu lepas. Tertuduh, Boo Gaik Kung, 39, didakwa melakukan perbuatan itu di Plaza Tol Kuala Terengganu Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Kampung Gemuruh dekat sini pada 1.20 pagi, 3 Nov lalu. Ia melibatkan 3,750 karton rokok dengan keseluruhan 750,000 batang rokok jenama Astro dengan menggunakan sebuah kenderaan van jenis Toyota Hiace. Tertuduh berasal dari Kuantan yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta yang sama. Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilainya dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Majistret Abdul Hayyi Salim menetapkan kes disebut semula pada 8 Dis ini serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Nurliyana R. Azmi.