suria

Ismail Sabri Harap Penjualan Vape Dibenarkan

PETALING JAYA: Susulan pengumuman kerajaan mengenai penyelarasan harga e-rokok baru-baru ini, Datuk Ismail Sabri Yaakob berharap supaya penjualan vape akan terus dibenarkan tetapi tertakluk kepada peraturan yang akan ditetapkan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan adalah satu indikasi bahawa vape tidak akan diharamkan.

"Saya percaya pengumuman itu adalah sebagai gambaran bahawa penjualan vape akan terus dibenarkan, walaubagaimanpun akan tertakluk kepada peraturan-peraturan yang akan dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Isnin.

Justeru, Ismail Sabri berkata beliau berharap usahawan muda dalam industri vape akan menggunakan kesempatan ini untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Pada masa sama, katanya, pengusaha perasa vape pula terus kreatif dalam menghasilkan perisa yang baik tanpa menggunakan bahan terlarang.

"Saya ingin melihat produk vape Malaysia dikenali di seluruh dunia dan yang lebih membanggakan kreativiti anak-anak muda melayu atau bumiputera," katanya.

Malah, Ismail Sabri turut menyeru kepada semua pengguna vape dan peniaga produk tersebut untuk lebih beretika dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.

Pada Ahad, KPDNKK akan mengeluarkan penyelarasan harga mengikut kepiawaian khusus untuk rokok elektronik atau e-rokok bagi memastikan keselamatan penggunanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi yang terlibat termasuk Kementerian Kesihatan dan Sirim Bhd bagi merangka garis panduan dan penyelerasan harga untuk e-rokok itu.

Katanya, kementerian tidak bercadang untuk menyekat pengimportan vape ke dalam negara namun kerajaan harus memberi perhatian dari segi keselamatan dan kesihatan pengguna.

"Pengguna vape kini sudah capai lebih sejuta dan kita bukan nak halang mereka cuma nak cari jalan selamat untuk pengguna-pengguna ini," kata Ahmad Bashah.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Dr S Subramaniam berkata satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengendalikan isu berkaitan e-rokok yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. 

"Ia dianggotai antaranya, wakil Bahagian Kawalan Penyakit, wakil bahagian Kesihatan Am dan pakar-pakar berkaitan," katanya.






vape, Ismail Sabri Yaakob

Artikel Berikut

Artikel Lain