suria

Jurujual Produk Kesihatan Diugut Sebar Video Lucah

Ng (tengah) mendedahkan Mayumi Chua yang mengugutnya menerusi laman media sosial.

IPOH: Seorang jurujual produk kesihatan terjerat dalam perkenalan kira-kira 40 minit dengan seorang wanita di laman Facebook apabila diugut dengan video aksi lucah.

Lelaki berusia 28 tahun yang mahu dikenali sebagai Ng itu berkata, dia berkenalan dengan wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Mayumi Chua di laman media sosial pada Isnin.

"Wanita itu muncul di ruang sembang Facebook saya dan ingin berkenalan. Dakwa wanita itu, dia adalah warga Indonesia yang bekerja di Eropah.

"Saya seorang jurujual, jadi saya biasa menambah kawan baru ini supaya boleh jual produk kepada mereka," katanya dalam sidang media yang dianjurkan oleh Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak Jimmy Loh, Rabu.

Menceritakan lebih lanjut, kata Ng, dia bersembang dengan Mayumi Chua lebih kurang dalam 40 minit selepas wanita itu meminta akaun Skype untuk video chat.

"Selepas 20 saat bersembang, wanita itu kemudiannya mula berbogel dan berkelakuan tidak senonoh.

"Saya tidak sedar selepas itu dan apabila bangun keesokannya, saya dapati wanita itu menghantar video saya berbogel dan berkelakuan tidak senonoh yang mana saya tidak berbuat demikian.

"Dia meminta RM4,000 daripada saya dan hanya beri 30 minit untuk saya buat transaksi tetapi saya tidak ada duit sebanyak itu," jelasnya.Ng berkata dia kemudian nampak video itu laman Facebooknya pada tengah hari.

"Dia memuat naik empat klip video saya dan berkongsi video-video itu di Facebook rakan saya.

"Sejujurnya saya tidak pasti jika gadis di dalam gambar ini adalah orang yang sama dengan wanita dalam video chat. Mukanya kabur dan hanya menunjukkan badannya sahaja," katanya.

Menurut Ng, dia ada terdengar insidien yang sama berlaku tetapi tidak menyangka dirinya menjadi mangsa.

"Saya jarang baca berita tetapi saya ada dengar mengenai insiden ini.

"Teman wanita dan keluarga saya sudah tahu mengenai ini. Saya buat keputusan untuk nyahaktifkan akaun Facebook saya," jelas Ng.

Ng berkata, dia sudah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).


video, Facebook, Mayumi Chua

Artikel Lain