suria

Kos Khidmat Kerusi Roda Mengejutkan Jemaah

Kira-kira 12,000 kerusi roda disediakan untuk kemudahan jemaah haji pada musim baru-baru ini.

ASSALAMUALAIKUM. Setelah meninggalkan pejabat maktab 68 dengan seribu kenangan, semua jemaah haji Destinasia Travels berangkat menuju ke hotel penginapan sepertimana tertera di dalam buku aturcara dan dimaklumkan ketika taklimat haji.

Tidak sampai setengah jam, kami tiba di Hotel Al-Jewar atau dikenali sebagai Burj Al-Jewar yang terletak kira-kira 120 meter dari perkarangan Masjidil Haram. Setelah urusan daftar masuk hotel selesai, semua jemaah menikmati hidangan tengah hari walaupun sudah agak lewat.

Selesai makan, seorang jemaah wanita menghampiri saya dan bertanya mengenai khidmat kerusi roda.

“Hajah, saya tak boleh jalan banyak. Saya perlu khidmat kerusi roda untuk tawaf dan saie. Berapa harganya?” tanya jemaah itu yang dikenali sebagai Nisa.

“Jika Puan nak nak khdimat kerusi roda, harganya dalam SR350,” ujar saya.

“Mahalnya…takkan sampai macam gitu sekali harganya,” balas beliau dengan nada terkejut.

“Jika Puan hendak minta orang tolak dari hotel, tawaf, saie dan balik semula ke hotel, itulah harganya,” balas saya lagi.

“Masa saya pergi umrah, murah sahaja, hanya SR100. Cubalah hajah tanyakan nanti,” pinta Puan Nisa lagi.

Selesai makan, saya bertanya seorang daripada petugas Destinasia, iaitu Haji Hadi untuk mendapat kepastian.

“Kalau sekarang harganya lagi mahal, SR500 jika hendak tolak dari hotel hingga selesai tawaf dan saie dan pulang semula ke hotel,” kata Haji Hadi penuh yakin.

Terkejut seketika dengan harga yang dimaklumkan itu tetapi saya perlu sampaikan kepada jemaah berkenaan.

“Puan, khidmat kerusi roda dari hotel hingga balik semula ke hotel adalah SR500,” ujar saya.

“Takkanlah mahal sampai macam tu sekali.  Masa saya pergi umrah murah sahaja,” balas Nisa.

“Ye Puan. Masa saya datang umrah pada Mei lalu pun dah SR350. Mungkin Puan pergi dah lama.

Tambahan pula ini musim haji. Mesti mahal lagi,” balas saya lagi.

 “Tak mengapalah. Kita tengok nanti macam mana. Mudah-mudahan ada yang murah,” kata jemaah itu.

Dewan makan semakin lengang. Sebahagian besar jemaah sudah masuk ke bilik masing-masing untuk berehat seketika. Jemaah yang memilih haji ifrad perlu menyempurnakan tawaf qudum dan saie haji manakala mereka yang memilih haji tamatuk perlu menyempurnakan tawaf umrah, saie umrah dan tahalul.

Jemaah haji yang memilih ifrad kekal dalam pantang larang ihram sehingga selesai melontar jamrah Aqabah manakala jemaah haji tamatuk pula tidak tergantung dengan pantang larang ihram setelah selesai bertahalul.

Saya dan beberapa jemaah lagi memilih haji ifrad manakala sebahagian besar jemaah memilih haji tamatuk. Terpulang kepada kemampuan dan pilihan masing-masing. Di dalam kamar 313A Hotel Al-Jewar, saya ditempatkan bersama-sama lima lagi jemaah yang saya kenali sebagai kak Zaini, kak Nora, kak Sarah, Jun dan Norbaya.

Kak Zaini dan Jun sudah saya kenali sekian lama tetapi kak Nora dan kak Sarah saya hanya temui kali pertama ketika taklimat haji di Subang Bestari manakala Norbaya pula adalah sahabat kepada Jun dan pernah bertemunya dua kali di tanah air sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Sudah tentu sedikit sebanyak ada debaran dalam diri kerana tidak pernah bermusafir apatah lagi berkongsi bilik dengan kelima-limanya. Sejurus tiba di dalam bilik, semua kelihatan sibuk  membuka bagasi besar dan mengeluarkan keperluan diri. Ada yang masuk ke dalam tandas dan tidak kurang juga mengeluarkan pakaian.

Usai solat Isyak dan menikmati hidangan malam, jemaah berkumpul di lobi hotel untuk bersama-sama mengerjakan tawaf dan saie.

“Hajah tunggu Puan Nisa dan Encik Rahim ye…” pinta Pengurus Operasi Destinasia, Haji Masrol Apandi.

“Baiklah haji. Insha Allah,” balas saya ringkas.

Semua jemaah berlalu pergi bersama-sama Haji Masrol. Namun, ada juga jemaah yang sudah menyempurnakan tawaf dan saie terlebih dahulu kerana kunjungan mereka ke Tanah Suci bukanlah kali pertama dan lebih selesa untuk menyegerakan ibadat itu dalam kumpulan kecil.

Di lobi, hanya tinggal saya, Encik Rahim dan Puan Nisa. Kedua-duanya dari Sabah. Tidak lama selepas itu muncul mutawif yang menguruskan khidmat kerusi roda di depan kami.

“Sudah ada ke orang yang nak tolak jemaah?” tanya saya pada remaja lelaki itu.

Dia sekadar menggeleng kepala. Dia tidak fasih berbahasa Melayu tetapi faham kemahuan jemaah. Anak muda itu meninggalkan kami dan hanya memaklumkan kepada saya tunggu di lobi seketika. Kira-kira 15 minit kemudian, dia muncul dengan dua lelaki berjubah putih dan memakai vest serta berpelekat hijau di dada membawa dua kerusi roda. 

Lega saya melihat mereka. Puan Nisa dan Encik Rahim kemudiannya duduk di atas kerusi roda itu manakala saya pula terpaksa mengambil wuduk semula di tandas lobi kerana tersentuh jari mutawif . Selesai wuduk, kami berjalan menuju Masjidil Haram. Saya mengekori mereka dari belakang. 

Ketika hampir tiba di perkarangan masjid, kedua-dua pemuda yang menolak jemaah dari Sabah itu memberhentikan kerusi roda di tepi jalan berdekatan tandas awam. Mereka duduk di kawasan berhampiran tandas dan makan roti.

Saya kehairanan dan bertanya kepada mutawif apa yang sebenarnya berlaku ketika saya mengambil wuduk di lobi.

“Tadi jemaah wanita bertanya harga khidmat kerusi roda dan jawapan mereka tetap sama SR500 dan mereka tidak mahu beri kurang,” kata mutawif muda itu.

“Apa nak jadi ni? Takkan nak biarkan jemaah di sini sahaja. Siapa nak tolak mereka?” tanya saya pada mutawif muda itu.

“Nanti saya cari yang lain,” balas mutawif berkenaan dan berlalu meninggalkan kami menuju ke Masjidil Haram.

Sesekali saya lihat kedua-dua anak muda yang sepatutnya menolak jemaah berkenaan menoleh memandang kami.

”Hajah, saya tidak kisah jika kena bayar SR500. Tak mengapalah saya bayar,” ujar Encik Rahim.

“Saya pun macam itulah. Nak buat macam mana jika mereka mahu banyak itu,” jelas Puan Nisa pula.

“Sekarang musim haji sebab itu khidmat kerusi roda pun meningkat,” balas saya pula.

Kira-kira 10 minit kemudian, mutawif itu datang menghampiri kami bersama-sama dua lelaki yang akan menolak jemaah berkenaan. Harga ditetapkan sama sahaja.

“Kenapa mesti ambil kakitangan dari masjid?” tanya saya kepada mutawif.

“Untuk musim haji perlu ambil mereka yang dilantik saja. Hanya yang pakai vest dan pelekat hijau 

dibenarkan menolak jemaah haji yang mahu guna khidmat kerusi roda ,” jelas mutawif berkenaan.

Encik Rahim dan Puan Nisa tidak berlengah untuk terus duduk di atas kerusi roda. Malam semakin larut namun Masjidil Haram tetap terang benderang dan dipenuhi jemaah dari seluruh pelosok dunia.

Saya berjalan pantas mengekori jemaah terbabit namun dinasihatkan oleh mutawif agar tidak mengikut kedua-dua jemaah berkenaan kerana tidak mampu untuk mengejar kepantasan petugas yang menolak kerusi roda. Justeru, berjalanlah saya sendirian untuk menyempurnakan tawaf qudum dan saie haji.

Suasana di dalam Masjidil Haram cukup padat. Di dataran Kaabah penuh sesak dengan jemaah walaupun sudah jam 12 malam. Alhamdulillah, selesai tawaf pada jam 1 pagi dan saya terus mencari tong air zamzam untuk menghilangkan dahaga setelah selesai solat sunat tawaf.

Seterusnya saya ke kawasan saie untuk menyempurnakan saie haji.  Biar malam semakin larut, jemaah tidak pernah susut. Ketika saie, saya terlihat beberapa jemaah Destinasia yang turut menyempurnakan saie mereka. 

Selesai saie, saya berjalan pulang sendirian ke hotel Al-Jewar sendirian. Jam di lobi menunjukkan 2 pagi waktu tempatan. Badan terasa letih tetapi mata belum hendak tidur. Di lobi, saya ternampak Encik Rahim duduk di sofa sendirian.

“Dah tahalul Encik Rahim?” tanya saya.

“Alhamdulillah sudah hajah,” jawab beliau ringkas.

“Macam mana budak-budak tu bawa kerusi roda tadi?” tanya saya.

“Laju mereka bawa tadi. Tapi tak mengapalah. Alhamdulillah dah selesai,” katanya tertawa kecil.

“Patutlah mereka tak bagi saya ikut tadi. Mesti tak boleh nak kejar,” balas saya tersenyum.

“Puan Nisa pun dah selesai tawaf ke?” tanya saya.

“Sudah. Sama dengan saya tadi tapi dia dah naik ke bilik,” ujar Encik Rahim.

“Saya tak kisah berapa mereka minta hajah kerana yang penting sudah selesai urusan tawaf dan saie saya,” ujar beliau lagi dengan tenang.

Encik Rahim pernah mengalami strok beberapa tahun lalu dan mampu  mengurus diri sendiri walaupun keadaan beliau ketika berjalan kurang stabil serta memerlukan kerusi roda jika berjalan jauh.

Ikuti apakah persiapan ke Arafah dan Mina dalam catatan kembara saya minggu depan, insyaAllah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain