suria

Unesco: Pemilihan Malaysia Pengiktirafan Terhadap Kemajuan Negara - Najib

KUALA LUMPUR: Pemilihan Malaysia menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) bagi penggal 2015-2019 merupakan pengiktirafan terhadap kemajuan yang dicapai negara ini dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dengan menduduki kerusi itu, Malaysia berharap akan dapat memberi lebih banyak sumbangan di peringkat antarabangsa.

Menulis di laman Facebook beliau, Najib berkata: "Malaysia baru sahaja dipilih menjadi anggota Lembaga Eksekutif Unesco bagi penggal 2015-2019.

"Saya melihat ini sebagai pengiktirafan terhadap kemajuan kita dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan dan kita berharap akan dapat meningkatkan sumbangan di pentas antarabangsa".

Malaysia dipilih menduduki kerusi lembaga eksekutif badan dunia itu bagi penggal 2015-2019 apabila mendapat jumlah undi tertinggi dalam kalangan negara Asia Pasifik.

Keputusan itu diumumkan pada Mesyuarat Ke-12 Persidangan Agung Ke-38 Unesco pada Rabu (11 November) di Paris, Perancis.

Malaysia mendapat 165 undi, diikuti Vietnam (156); Sri Lanka (149), Korea (137); Pakistan (135) dan Iran (128).

Malaysia juga dipilih menduduki kerusi Majlis Antara Kerajaan (IGC) bagi Penerangan untuk Semua Program (IFAP) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Maklumat (CI) pertubuhan itu.

Peranan IGC, antara lain, ialah untuk memeriksa dan menilai pencapaian serta menentukan bidang asas yang memerlukan penambahbaikan dalam kerjasama antarabangsa dan sebagai usaha sokongan dalam pengumpulan dana untuk IFAP.-- Bernama


Unesco, Malaysia, Perdana Menteri

Artikel Sebelum

Artikel Lain