suria

Majlis Tidak Dipilih Rakyat Tidak Demokratik - Najib

Najib Tun Razak.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan sebarang bentuk majlis yang bertujuan menyelia seorang pemimpin jika tidak dipilih rakyat boleh disifatkan sebagai tidak demokratik.

"Ia secara langsung bercanggah dengan perlembagaan negara yang berpaksikan prinsip demokrasi," kata Najib dalam satu rakaman audio di laman blog, najibrazak.com pada Jumaat.

Beliau merujuk kepada rancangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan sebuah majlis penasihat bagi menasihati perdana menteri pilihan beliau.

Pada Jumaat, Najib menegaskan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dengan pemimpin di dalam badan eksekutif dipilih menerusi pemilihan parti dan pilihan raya umum.

"Mereka menerima mandat untuk menjadi pemimpin dan memegang jawatan dalam kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Mereka yang dipilih bertanggungjawab kepada rakyat kerana rakyat yang memilih mereka," katanya.

Sekiranya terdapat satu badan yang boleh mengawal seorang pemimpin yang dipilih, kata Najib, maka Malaysia akan menyimpang dari sistem demokrasi yang sentiasa menjadi tunjang kepada keamanan dan pembangunan negara.

"Sebagai rakyat Malaysia, tidak kira pangkat atau kedudukan, kita perlu menjunjung keluhuran perlembagaan.

"Sebagai pemimpin, saya bertanggungjawab mempertahankan rukun negara ketiga ini dengan segala bidang kuasa saya," katanya.


Artikel Berikut

Artikel Lain