BENTONG: Anih Berhad akan membina penghadang konkrit sepanjang 300 meter di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak yang terjejas akibat banjir lumpur, pada Rabu lalu. Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh berkata penghadang konkrit itu akan dipasang selewat-lewatnya petang ini. "Penghadang konkrit akan dipasang di kawasan terjejas sebagai langkah berjaga-jaga kepada pengguna jalan raya yang melalui lebuh raya itu dari Kuantan ke Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak terjejas Jumaat. Katanya penghadang berkenaan juga akan bertindak sebagai tembok pertahanan bagi menghalang serpihan seperti batu dan balak yang jatuh dari atas bukit memasuki lebuh raya. "Bagaimanapun, sebelum pembinaan penghadang itu kita akan mengalihkan serpihan bongkah batu besar dan jika batu itu stabil kita akan kekalkannya di atas bukit. "Apa yang penting hari ini kita bersihkan longkang di kawasan terjejas supaya air dapat mengalir secara normal dan mempercepat proses pembersihan jalan," katanya. Kejadian tanah runtuh berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada pukul 6.30 petang Rabu menyebabkan sebahagian lebuh raya dari kedua-dua arah tidak boleh dilalui, namun tiada kehilangan nyawa dilaporkan. Hanya tiga buah kenderaan persendirian dan sebuah lori angkut terkandas di kawasan itu, namun kesemua pemilik kenderaan berjaya diselamatkan. Ia juga menyebabkan 25 penghuni kuarters Jabatan Perhutanan Negeri Pahang terpaksa dipindahkan ke Masjid Lentang.