KARAK: “Saya fikir ajal saya dah sampai," kata ibu kepada tiga anak, Zulafida Zainal. "Saya terdengar bunyi keretakan yang kuat dan seingat saya, ada bunyi bongkah batu, pokok dan lumpur jatuh ke bawah bukit menuju ke arah rumah saya. "Saya cepat-cepat mengambil bayi lelaki saya dan keluar dari rumah kami. Saya juga tidak sempat memakai selipar," kata Zulafida yang baharu sahaja melahirkan bayi lelakinya, Muhammad Rayyan Mikhael yang berusia 16 hari. Zulafida mengimbas kembali detik cemas apabila dia terselamat daripada insiden tanah runtuh di Lebuhraya Karak yang berlaku di belakang rumahnya pada Rabu. Wanita berusia 36 tahun itu memberitahu turut terjatuh di dalam lumpur bersama dengan bayinya ketika dia dan suami cuba menyelamatkan diri. "Rayyan basah kuyup dan menggigil akibat kesejukan tetapi dia tidak menangis. "Baharu sekarang saya rasakan kesakitan di bahagian jahitan dan ia benar-benar sakit," kata Zulafida sambil memegang perutnya. Zulafida bersama anak lelakinya yang terselamat dalam insiden itu. Zulafida melahirkan anaknya melalui kaedah pembedahan. Seramai 73 mangsa daripada 14 keluarga yang terdiri daripada 47 dewasa, 22 kanak-kanak dan seorang bayi dari kuarters Jabatan Perhutanan Pahang terjejas akibat insiden tanah runtuh itu. Kuarters tersebut hanya 2 kilometer dari lokasi insiden tanah runtuh yang berlaku di KM42.2 Lebuhraya Karak. Seorang pekerja am, Azril Mustafa, 37, sedang menonton televisyen bersama keluarganya apabila mereka terdengar bunyi kuat dari atas bukit. "Ia amat menakutkan. Saya tidak mahu mengalami detik hitam itu pada masa akan datang. "Saya seram sejuk setiap kali teringatkan peristiwa itu," kata Azril yang tinggal di kuarters tersebut sejak 10 tahun lalu. Menurut Azril, dia terlihat beberapa kereta dan motosikal dihanyutkan lumpur tetapi bersyukur kerana keluarganya selamat. Seorang ahli perniagaan, Mohd Asri Mohd Yusuf, 28, yang bapanya bekerja bersama jabatan perhutanan Pahang berkata dia tidak menduga insiden itu menimpa keluarganya. "Saya sedang makan malam bersama dengan rakan-rakan apabila saya terlihat keadaan trafik di lebuhraya sesak secara tiba-tiba. "Saya balik ke rumah dan melihat kemusnahan itu. Namun saya bersyukur kerana tiada ahli keluarga saya yang cedera," katanya.