PETALING JAYA: Operasi pusat eko-pelancongan Tanah Aina Fareena di Bentong terpaksa dihentikan sementara kerana terjejas teruk akibat kejadian banjir lumpur di laluan Lentang-Bukit Tinggi, dua hari lalu. Pemilik Tanah Aina Fareena, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kejadian banjir lumpur setinggi lebih satu meter itu adalah kejadian pertama sejak kawasan Tanah Aina yang berkeluasan tiga hektar itu dibuka. "Banjir di Tanah Aina Fareena di Lentang ini menyebabkan kesemua banglo dimasuki air dan terjejas teruk. Ini juga mengakibatkan semua perabot dan peralatan rosak. "Kejadian sebegini adalah kali pertama berlaku sejak Tanah Aina Fareena dibuka 12 tahun lalu," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis. Ketika diminta mengulas mengenai kerugian yang dialami, Shariffa Sabrina berkata, pihaknya masih membuat anggaran kerugian yang dialami akibat bencana alam itu. "Setakat ini tidak dapat nak dianggarkan lagi berapa jumlah kerugian di Tanah Aina Fareena. "Pihak kami akan meneliti dahulu jumlah kesemua perabot dan peralatan yang rosak," katanya lagi. Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Km 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran kawasan Lentang-Bukit Tinggi dipercayai berpunca daripada kegiatan pembalakan tidak terkawal di kawasan Hutan Lipur Lentang. Shariffa Sabrina yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berkata, kegiatan pembalakan tidak terkawal berlaku di hutan itu disebabkan oleh projek laluan Tenaga Nasional Malaysia Berhad (TNB) dari Bentong ke Lenggeng, Negeri Sembilan. Jelasnya lagi, beberapa bantahan telah disuarakan, tetapi kegiatan pembalakan itu masih diteruskan sehingga menyebabkan hutan semakin gondol sekaligus mendakwa ia menjadi punca kejadian tanah runtuh yang berlaku petang Rabu. Shariffa Sabrina meminta kerajaan negeri dan kerajaan pusat untuk memandang serius dan ambil tindakan untuk menghentikan kegiatan pembalakan secara tidak terkawal ini.