KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi jaminan beban hutang yang ditanggung syarikat itu akan dikurangkan secara mendadak. Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion akan dikurangkan melalui pelan rasionalisasi yang dijangka siap pada 31 Disember tahun ini. "Pada Februari 2015 kita telah menyiapkan hasil kajian strategik... selepas ini hutang 1MDB akan dikurangkan secara mendadak melalui pelan rasionalisasi 1MDB. "Selain mengurangkan hutang secara mendadak, ia akan meninggalkan begitu banyak aset dalam 1MDB sendiri dan Kementerian Kewangan," katanya ketika menyampaikan penerangan pada Majlis Penerangan 1MDB, TPPA dan Bajet 2016 di sini, Sabtu. Majlis ini diadakan terbuka dan dihadiri oleh wakil daripada pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan pihak media dan dianggarkan ia telah mendapat perhatian seramai lebih 1,000 orang. Arul Kanda berkata melalui pelan rasionalisasi 1MDB, syarikat itu masih mempunyai nilai aset berjumlah RM10 bilion hingga RM12 bilion walaupun beberapa aset perlu dijual. Di Malaysia katanya, 1MDB masih mempunyai nilai aset RM4 hingga RM5 bilion - Tun Razak Exchange RM5 hingga RM6 bilion, Ayer Itam RM1 bilion dan Pulau Indah RM300 juta.