NILAI: Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik berhampiran gelanggang bola keranjang di Taman Desa Melati 2 di sini pada Jumaat. Ketua Polis Daerah Nilai Supt Zaldino Zaludin berkata kejadian kira-kira 7 malam itu berlaku ketika Iman Danish Mohd Sazali, 16, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas bermain bola keranjang di gelanggang itu. "Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melalui jalan pintas di satu kawasan berhampiran substesen Tenaga Nasional Berhad (TNB), menyebabkan mangsa menjerit lalu rebah," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu. Iman Danish, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sepang, dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital swasta di sini. Mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk dibedah siasat dan siasatan sedang dijalankan di tempat kejadian, kata Zaldino. - Sementara itu, bapa mangsa Mohd Sazali Saad, 49, berkata Iman Danish bersama-sama kakaknya, Nazreen Fitri, 17, dalam perjalanan ke rumah selepas ke padang permainan berhampiran untuk beriadah. Katanya beliau berada di rumah ketika itu dan diberitahu mengenai kejadian itu oleh isterinya Azlinda Abu Bakar, 48, yang mengambil adik mangsa di sekolah selepas mendapat panggilan daripada Nazreen Fitri. "Nazreen Fitri melihat kejadian yang menimpa adiknya tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Jalan pintas itu sering digunakan penduduk taman ini. "Jeritan adiknya didengari beberapa jiran yang berada berhampiran, malah dua lelaki yang berusaha memberi bantuan terpaksa menggunakan kayu untuk menarik badan arwah," katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban. Menurutnya Iman Danish pada mulanya dikejarkan ke Nilai Medical Centre dan doktor berusaha menyelamatkanya selama hampir 45 minit sebelum mengesahkan kematiannya kemudian. Iman Danish merupakan anak keempat daripada lapan beradik.