BENTONG: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah murka dan sedih dengan kejadian banjir lumpur di Kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada Rabu lepas dan menitahkan pihak berkenaan mencari jalan penyelesaian untuk mengelak kejadian serupa daripada berulang. Baginda menyifatkan kejadian tersebut amat memalukan dan menjejaskan imej Pahang selain menyusahkan banyak pihak kerana ia merupakan laluan utama dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur. "Saya sedih sampai empat hari laluan dari Kuala Lumpur ke Pahang terputus hubungan, memang ini kuasa Allah (hujan lebat sehingga menyebabkan banjir lumpur) tetapi apa persediaan untuk hadapinya. "Saya tidak mahu perkara ini berulang dan sehubungan itu pihak berkenaan perlu cari jalan untuk pastikan kejadian ini tidak berlaku lagi kerana ia menyusahkan rakyat," titah baginda dengan nada kesal. Sultan Pahang bertitah demikian selepas mendengar taklimat tentang kejadian itu oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh di sini, Sabtu. Baginda menitahkan semua agensi yang berkenaan supaya bekerjasama mencari jalan penyelesaian terhadap perkara itu dan bukannya menuding jari mencari salah siapa. Sultan Pahang sebelum itu tiba di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada kira-kira pukul 10 pagi untuk meninjau keadaan di kawasan kejadian dengan diiringi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Saffian Ismail. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang Datuk Mohd Soffi Abd Razak dan Ketua Polis Pahang Datuk Seri Shariffudin Abd Ghani. Baginda turut menitahkan agar sebahagian daripada laluan tersebut dibuka segera bagi kemudahan pengguna jalan raya. Selepas mendengar taklimat lebih sejam itu, baginda turut melawat 73 orang daripada 14 keluarga kakitangan Pejabat Hutan Lentang yang ditempatkan di Masjid Lentang setelah kuarters mereka terjejas dalam kejadian banjir lumpur itu. Sultan Ahmad Shah turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa dan memberi jaminan mereka akan ditempatkan di kediaman baharu secepat mungkin. Dalam sidang media selepas itu, baginda bertitah antara langkah yang telah dikenal pasti untuk mengelak insiden yang sama berulang, termasuk membina tembok yang lebih tinggi untuk menghalang laluan air jika hujan lebat berlaku. Pihak agensi peringkat negeri dan peringkat pusat yang berkaitan akan mengadakan perbincangan bagi memastikan perkara serupa tidak berlaku pada masa akan datang, titah baginda. Sultan Ahmad Shah turut menafikan terdapat kegiatan pembalakan haram berhampiran kawasan itu yang menyebabkan kejadian banjir lumpur itu. Sementara itu, Liow berkata perbincangan akan dilakukan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuka laluan tersebut secepat mungkin seperti dititahkan baginda. "Saya dimaklumkan mereka (JKR) sedang berusaha untuk membuka semula laluan terjejas dengan kadar segera dan berharap ia dapat dilaksanakan hari ini. Bagaimanapun pengumuman berkenaan pembukaan semula laluan itu akan dibuat oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof," katanya. Liow yang juga anggota Parlimen Bentong turut berharap proses membaik pulih kawasan tadahan air yang terjejas akibat kejadian banjir lumpur itu dilakukan dengan segera kerana khuatir kejadian sama berulang. Beliau turut menjunjung kasih terhadap keberangkatan Sultan Ahmad Shah ke lokasi terjejas di samping meluangkan masa serta memberikan bantuan kepada mangsa.