PUTRAJAYA: Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersedia memulakan prosiding mahkamah bagi membersihkan dirinya yang didakwa telah menyalahgunakan dana untuk anak-anak yatim dan golongan miskin. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau telah mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) yang mempunyai kaitan dengan PKR. "Dakwaan itu adalah fitnah dan satu percubaan sengaja untuk merosakkan integriti saya sebagai seorang menteri," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, Ahad. Peguamnya, Adnan Seman yang turut hadir, berkata beliau akan mengeluarkan surat tuntutan pada Isnin terhadap Pengarah NOW Akmal Nasir jika beliau tidak menarik balik dan memohon maaf di atas dakwaannya. Jumaat lepas, Portal berita, The Malaysian Insider melaporkan dakwaan Akmal Nasir mengenai lawatan Jamil Khir dan mendedahkan beberapa dokumen yang merujuk kepada perbelanjaan menteri itu ke luar negara untuk menghadiri program dan dibiayai Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM). Pada hari yang sama, Jamil Khir menjelaskan bahawa lawatannya ke Amerika Syarikat pada 21 hingga 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan agensi di bawah seliaannya, terutama YaPEIM dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Amerika, termasuk program Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1,000 pelajar dari Amerika serta Kanada. Ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis, Jamil Khir berkata beliau mengarahkan peguam mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah NOW (Akmal) yang melakukan fitnah jahat dan tuduhan keji terhadapnya. "Saya sentiasa bersedia dan terbuka untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku," katanya. Ditanya sekiranya Akmal enggan meminta maaf, Jamil Khir berkata: Kita jumpa di mahkamah. Dalam laporan polis itu, Jamil Khir berkata Akmal secara sengaja memfitnah dan dengan niat jahat mencadangkan kepada umum bahawa beliau seorang menteri yang korup, mencuri dan menyalahgunakan duit anak yatim dan tidak amanah. "Ini satu serangan terhadap saya di dalam menjalankan tanggungjawab sebagai menteri," katanya. Sementara itu, Adnan berkata pihaknya (Adnan Sharida and Associates) akan mengeluarkan satu lagi surat tuntutan esok (Isnin) bagi mengarahkan Akmal menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara lisan dan bertulis. "Kita akan beri Akmal dua hari (menarik balik kenyataan, memohon maaf). Jika gagal, kita akan memfailkan saman di mahkamah...paling lewat pada Jumaat," katanya.