KUALA LUMPUR: Kira-kira 40 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) disahkan Ilat dan tidak mampu bekerja disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit setiap hari, kata Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Saripuddin Kassim. Beliau berkata berdasarkan statistik tahun lepas, sebanyak 8,912 kes tuntutan bagi pencen Ilat dicatatkan disebabkan oleh penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser. Katanya kadar tuntutan itu menunjukkan peningkatan lebih 90 peratus berbanding 10 tahun lepas dengan anggaran bayaran faedah berjumlah RM660 juta pada 2014. Justeru, Saripuddin meminta pekerja mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti riadah dan bersukan supaya dapat terus bekerja secara aktif. "Apabila pekerja sihat, mereka dapat mengurangkan bebanan dari segi kos perubatan dan menjalani kehidupan yang lebih aktif dan ceria," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Program Larian dan Kayuhan Perkeso 2015 di Dataran Bandaraya DBKL di sini, Ahad. Turut hadir Pengerusi Perkeso Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Eksekutifnya Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. Seramai 3,000 peserta menghadiri program itu dengan pelbagai aktiviti disediakan seperti acara larian, berbasikal, pemeriksaan kesihatan percuma serta senaman zumba. Dalam pada itu, Abu Huraira berkata kira-kira 1.65 juta pekerja yang mencarum dengan Perkeso masih belum melakukan saringan kesihatan. Beliau berkata sehingga kini, sejumlah 439,000 pekerja mengambil peluang menjalani pemeriksaan kesihatan yang disediakan Perkeso secara percuma kepada pekerja dan ahli keluarga mereka. Katanya hasil daripada program saringan kesihatan Perkeso mendapati 73 peratus daripada pencarum mengalamai masalah berat badan dan obesiti; tahap kolestrol yang tinggi (62 peratus); tekanan darah tinggi (27 peratus) dan diabetes (9 peratus). "Pekerja boleh menghubungi hotline Perkeso di talian 1-300-22-8000 atau melalui majikan untuk mengatur temu janji bagi mendapatkan saringan kesihatan," katanya.-- Bernama