KUALA LUMPUR: Golongan wanita akan diberi peluang untuk memimpin Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) jika cadangan penubuhannya mendapat kelulusan Kabinet. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata cadangan mengenai perkara itu telah dikemukakan kepada semua kementerian dan setakat ini hanya satu kementerian masih belum memberi keputusan mengenainya. "Kerajaan masih bincang untuk kita menubuhkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menggantikan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). "Lepas ni JPAM akan jadi APM sebab banyak orang sebutnya (JPAM) kurang bagus…ketua pengarahnya adalah seorang wanita," katanya menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) mengenai keberkesanan JPAm dalam mengawal masuk kawasan sempadan Sabah. Ahli Parlimen Arau itu berkata JPAM tidak terlibat secara langsung dalam mengawal persempadan Sabah sebaliknya lebih berperanan dari segi kerja-kerja kebajikan dan sosial. "JPAM ni lebih kepada perkara-perkara kebajikan, tak terlibat secara langsung kawal sempadan seperti Rela dan sebagainya, kita beri bantuan dari segi logistik dan bantuan bencana. "Tapi kita telah setuju tempatkan anggota JPAM di seluruh kawasan Esscom," katanya. Mengulas lanjut beliau berkata menerusi tinjauan yang dilakukan di kawasan Esscom baru-baru ini, ia berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi dengan kecekapan dan kawalan aset. "Bagaimana masih bolos susah kita nak jawab, tapi operasi sering dilakukan. Boleh dikatakan setiap hari ada tangkapan dan pusat tahanan kita sentiasa penuh," katanya.