KUALA LUMPUR: Kedutaan Perancis akan mengadakan perhimpunan solidariti pada Isnin berikutan serangan di Paris. Dalam laman Twitternya, kedutaan menyatakan pertemuan akan berlangsung pada pukul 6.30 petang hingga 7.30 malam oleh komuniti Perancis di Malaysia. "Jangan lupa untuk bawa kad ID anda," dalam tweet itu. Duta Perancis di Malaysia Christophe Penot akan berada di majlis itu di Jalan Ampang. Menurut bahagian media kedutaan itu, buku takziah akan dibuka pada esok dan Rabu. Bendera Perancis dikibar separuh tiang di kedutaan sehingga esok yang masuk hari ketiga tempoh perkabungan yang diisytihar oleh Perancis. Dalam pada itu, wakil Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) berkata penerbangan ke Perancis tidak terjejas berikutan serangan itu dan tiada pembatalan tiket pada ketika ini. Penasihat perjalanan syarikat penerbangan itu berkata penerbangan antara Kuala Lumpur dan Paris akan beroperasi seperti biasa.