KUALA LUMPUR: Barisan pemimpin dunia yang menghadiri Sidang Kemuncak Asean akan dikawal ketat Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman. Pasukan tersebut ditugaskan untuk melindungi keselamatan pemimpin dari Amerika Syarikat (AS), Rusia, China, Jepun dan India yang akan berada di ibu negara pada minggu ini. Komander UTK, SAC Datuk Hazani Ghazali berkata selain ditugaskan untuk melindungi tujuh pemimpin 'berisiko tinggi', anggotanya juga akan bersiap sedia sebagai pasukan tindak balas krisis. Dengan 300 pegawai dan anggota bertugas sepanjang sidang kemuncak itu, Hazani berkata UTK telah menjalani latihan sejak beberapa bulan lalu untuk mengasah kemahiran mereka. "Kami melatih anggota kami dalam pelbagai aspek termasuk kemahiran pemanduan dan bagaimana untuk menangani ancaman keganasan. Kami juga dilatih untuk pemindahan segera sekira berlaku kecemasan," katanya dalam satu temubual bersama The Star. Hazani Ghazali. Selepas latihan selama beberapa bulan, Hazani berkata masih terdapat beberapa aspek yang perlu dipertingkatkan tetapi secara keseluruhannya, beliau berpuas hati. "Berdasarkan maklumat risikan, tiada ada sebarang ancaman tetapi anggota saya bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan. Yakinlah bahawa mereka akan mengawal ketat semua pemimpin yang ditugaskan untuk mereka lindungi. "Keselamatan mereka adalah keutamaan kami," katanya. Hazani berkata pasukannya berada dalam keadaan berwaspada. "Kami akan melindungi semua pemimpin ini daripada sebarang ancaman asing atau domestik dengan apa jua sekalipun," katanya. Beliau berkata, anggota yang dipilih merupakan mereka yang mempunyai potensi besar untuk berdepan operasi berisiko tinggi. "Kami hanya menurunkan anggota terbaik untuk memastikan sidang kemuncak berjalan dengan lancar," katanya. Sejak awal penubuhannya, taktik dan pengaruh utama UTK berasal dari Jerman “Grenzschutzgruppe 9 der Bundespolizei” atau lebih dikenali sebagai GSG 9. Unit tersebut turut dipengaruhi taktik yang digunakan Bahagian Aktiviti Khas, satu bahagian di bawah Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat.