suria

Dasar Baharu Di Sempadan Baik Untuk Pelancong Dan Warga Thai

ALOR SETAR: Dasar baharu Thai yang mengetatkan keselamatan di lintasan sempadannya akan membantu meningkatkan keselamatan orang ramai dan pelancong.

Walau bagaimanapun, berlaku kekeliruan bagi pemilik kenderaan yang tidak mengetahui tentang peraturan baharu itu yang berkuatkuasa pada Ahad.

Peraturan baharu itu memerlukan pemandu memberi maklumat terperinci mengenai kenderaan dan penumpang yang memasuki atau meninggalkan negara ini, kata Naib Presiden Persatuan Pelancongan Songkhla Chirasak Chantawadee.

"Akan ada masalah tertentu dengan mana-mana peraturan baharu, tetapi selepas beberapa hari, ia akan menjadi satu kebiasaan untuk orang ramai.

"Pengguna jalan raya perlu menghabiskan lebih banyak masa di pusat pemeriksaan sempadan dan akhirnya langkah itu akan memberi manfaat kepada semua - kerajaan, rakyat dan juga pelancong," katanya.

Pemilik kenderaan yang memasuki dan meninggalkan Thailand di semua lintasan sempadan Malaysia-Thailand kini perlu mengisi Borang Maklumat Kenderaan Thailand (TM.2) dan Borang Senarai Penumpang (TM.3).

Peraturan itu sebelum ini dikenakan oleh Imigresen Thailand hanya untuk van mini dan bas ekspres yang menyeberangi sempadan.

Chirasak berkata dokumentasi tambahan akan membolehkan kerajaan Thailand mempunyai maklumat lanjut mengenai kenderaan dan penumpang yang memasuki atau keluar dari negara itu.

"Pihak berkuasa Thai kini amat ketat dalam memeriksa keluar-masuk warga asing.

"Serangan Keganasan semakin meningkat di seluruh dunia.

"Kuil Erawan di Bangkok telah dibom pada bulan Ogos lalu dan sekarang serangan Paris," katanya kepada The Star.

Pada Isnin, The Star melaporkan bahawa pemandu Malaysia yang menyeberangi sempadan di Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra di Durian Burung, Kedah perlu menyediakan manifesto penumpang.

Chirasak menjelaskan bahawa peraturan baharu itu bukan sahaja bagi mereka yang datang dari ICQS Kedah tetapi semua lintasan sempadan Malaysia-Thai.

Difahamkan langkah baharu itu juga telah dikenakan dalam usaha untuk membendung jenayah merentasi sempadan seperti penyeludupan kenderaan dan barang-barang, pengedaran dadah dan penyeludupan manusia.

Kubur besar dan kem-kem tahanan Rohingya dan Bangladesh yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia telah ditemui di Wang Kelian, Perlis, pada bulan Mei.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain