ALOR SETAR: Dia tidak mempunyai tangan, kakinya lumpuh dan hanya jari kaki kanan boleh berfungsi untuk mencengkam pensil. Namun disebalik semua kekurangan itu, kanak-kanak ceria Ooi Zhao Qian, 12, lulus dalam peperiksaan UPSR. "Saya mahu menjadi seorang peguam dan membantu orang yang memerlukan, sama seperti ibu saudara saya," kata kanak-kanak dari SJK (C) Soon Cheng di Bukit Pinang itu. Ooi mendapat 3B, 3C dan 1D dalam peperiksaannya. Walaupun tidak mendapat sebarang A, dia masih bersemangat untuk meneruskan pengajiannya ke sekolah menengah. Ketika hadir di sekolah, Ooi disambut rakan-rakn yang membantu menolak kerusi rodanya ke dewan untuk mengambil keputusan peperiksaan. Lima tahun yang lalu, The Star pernah memaparkan kisah Ooi pada hari pertama dia ke sekolah rendah. Pada ketika itu beratnya hanya 10.5kg. "Ibu saya mengajar saya untuk menulis dengan kaki kanan saya apabila saya berumur dua tahun. "Saya juga boleh melipat pakaian saya, menyapu lantai, membuat panggilan telefon, buka beg sekolah saya, bermain congkak dan juga melayari internet dengan kaki saya. "Saya berharap untuk mendaftar ke sekolah menengah berhampiran rumah saya kerana saya tidak mahu membebankan ibu saya yang perlu hantar saya ke sekolah setiap hari," katanya. Ooi sentiasa disayangi ahli keluarga dan rakan-rakannya. Datuk dan bapa saudaranya membina sebuah kerusi roda unik yang membolehkan dia bergerak dengan kakinya sejak berusia empat tahun.