suria

Bahaya Besar Menanti Jika Edra Energy Dijual - Rafizi

KUALA LUMPUR: Penjualan aset tenaga pegangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Edra Global Energy Berhad adalah satu bahaya besar dan akan memberi kesan kepada rakyat dan 33,000 kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dakwa Rafizi Ramli. 

Naib presiden PKR itu berkata walaupun perkara itu masih dalam perancangan, beliau berkata kerajaan dilihat sudah membuat keputusan untuk menjualnya kepada syarikat asing dengan harga yang lebih tinggi pada harga melebihi harga pasaran.

“Saya yakin kerajaan telah membuat keputusan untuk menjual aset ini kepada syarikat China dan Qatar, hanya tunggu untuk diumumkan.

“Ini satu bahaya besar kepada rakyat kerana kita berdepan dengan kemungkinan tarif elektrik yang tinggi dan kita tak tahu pun sama ada ia disebabkan oleh penjualan kepada konsortium China dan Qatar,” katanya di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Ahli Parlimen Pandan ini berkata kerajaan sanggup berdepan kemarahan rakyat dan satu lagi kontroversi politik dengan menjual aset tenaga ini, asalkan hutang 1MDB dapat dikurangkan.

Beliau mendakwa, apabila perjanjian jual beli tenaga (PPA) dirunding kembali dalam tahun 2016 dan 2022, kerajaan akan memberi terma kewangan yang memihak kepada syarikat asing tanpa diketahui rakyat.

“Jika mereka menang, mereka sentiasa boleh berunding tentang tarif tanpa kita tahu kerana rundingan PPA adalah rahsia dan tak pernah didedahkan kepada rakyat,” katanya.

Katanya selain kesan dari segi tarif, penjualan aset tenaga itu juga bakal memberi kesan kepada sektor tenaga di negara ini dan akan menjejaskan peluang pekerjaan kakitangan dalam sektor tenaga.

Ditanya mengenai langkah yang paling sesuai untuk menangani isu ini, beliau berkata 1MDB perlu ditutup dan mereka yang disiasat dan didapati bersalah perlu dikenakan tindakan undang-undang.

“Apa yang mereka lakukan sekarang sebenarnya memberi kesan kepada sektor dan industri lain yang berjalan begitu baik, tetapi kerana 1MDB ia mula lemah menjadi dan menjejaskan industri lain juga,” katanya.

Edra Energy, TNB, 1MDB, Rafizi Ramli

Artikel Berikut

Artikel Lain