suria

Wakil Rakyat DAP Di P.Pinang Gagal Bentang Usul Hadkan Penggal Ketua Menteri

Teh Yee Cheu
GEORGE TOWN: Usul untuk membincangkan agar jawatan Ketua Menteri, Perdana Menteri dan Menteri Besar dihadkan kepada hanya dua penggal telah ditolak oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah) telah membentangkan usul tanpa notis di bawah Peraturan 34 (iv) Perintah Tetap tidak lama selepas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perancangan Bandar negeri Jagdeep Singh Deo  (DAP-Datuk Keramat) selesai memberikan ucapan penggulungan.

Beliau juga telah mencadangkan agar satu penggal tetap pilihan raya umum dibincangkan oleh Jawatankuasa Perlembagaan Negeri.

Speaker Datuk Law Choo Kiang (PKR-Bukit Tambun) berkata 10 undi diperlukan untuk usul itu diluluskan.

"Ada mana-mana wakil rakyat yang hadir menyokong usul itu?", Tanya Choo Kiang.

Pertanyaan itu diikuti dengan suasana senyap di dalam dewan persidangan.

RSN Rayer (DAP-Seri Delima), bagaimanapun, berdiri dan berkata: "Kami sebulat suara tidak menyokong."

Teh hanya duduk selepas usulnya itu ditolak.

Di luar Dewan, Teh berkata ini adalah kali pertama usul itu  dibawakan untuk ia dibincangkan oleh Jawatankuasa Perlembagaan Negeri.

"Saya tidak sedih bila usul itu tidak menerima sebarang sokongan. Ini adalah demokrasi.

"Malah, saya gembira kerana saya telah membangkitkan perkara itu.

"Saya akan meneruskannya dan akan mengemukakan permintaan bertulis bagi usul dipertimbangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri yang akan datang," kata Teh.
sidang DUN, had penggal, Teh Yee Cheu

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan