NUSAJAYA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Bernard Then Ted Fen yang dipercayai dibunuh kumpulan militan Abu Sayyaf di selatan Filipina. Ucapan berkenaan dizahirkan oleh Speaker DUN Johor Tan Sri Mohamad Aziz sebelum pembentangan Bajet Negeri Johor 2016 oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Kota Iskandar, di sini. Mohamad turut meminta semua anggota DUN Johor bertafakur selama seminit bagi memperingati kematian Then. Media asing melaporkan bahawa Then, 39, seorang jurutera elektrik dari Sarawak, dipenggal kepalanya kira-kira 4 petang, Selasa lepas, di kubu kuat Abu Sayyaf yang terpencil di pulau Jolo di wilayah Sulu, kira-kira 1,400km selatan Manila. Then dan seorang wanita, Thien Nyuk Fun, 50, diculik empat lelaki bersenjata yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan pada 7.45 malam 14 Mei lepas. Bagaimanapun, pada 8 November, Thien, pengurus restoran itu, dibebaskan oleh penculiknya berikutan rundingan antara pihak berkuasa Malaysia dan penculiknya. - BERNAMA