suria

1MDB: Bicara Kes Saman Najib Terhadap Harakah Bermula 16 Mac Tahun Depan

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman fitnah yang  difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bermula 16 Mac tahun depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menetapkan tarikh itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam yang mewakili Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun dan peguam Nadziatun Naim yang mewakili Ketua Pengarang Harakahdaily Taufek Yahya.

Mohd Hafarizam ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menetapkan 16, 17, 18, 21 dan 22 Mac untuk perbicaraan kes itu.

Sementara itu, Mohd Hafarizam berkata Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Februari tahun hadapan untuk mendengar rayuan perdana menteri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 Ogos yang menolak permohonannya untuk membatalkan dua perenggan dalam pernyataan pembelaan Harakah dan Harakahdaily.

Najib memfailkan saman pada 18 Mac tahun ini dengan menamakan Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Harakahdaily Taufek Yahya, sebagai defendan.

Saman itu membabitkan penerbitan artikel yang ditulis Rosli pada 19 Februari berkaitan isu dana 1MDB.

Menerusi pernyataan tuntutan, Najib berkata artikel itu mengandungi perkataan fitnah yang menggambarkan bahawa beliau menyalah guna dana 1MDB.

Oleh itu, kata beliau, penerbitan artikel itu menjejaskan reputasinya dan mengakibatkan beliau dikecam dalam media sosial dan media massa.

Najib turut mendakwa Taufek gagal mengamalkan 'kewartawanan bertanggungjawab' dengan tidak mengesahkan kebenaran perkataan yang ditulisnya sebelum menerbitkan artikel itu.

Perdana menteri mendakwa defendan sengaja menerbitkan artikel fitnah itu bagi meneruskan agenda tersendiri untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah serta injunksi untuk menahan defendan atau pembantu mereka daripada menerbitkan artikel berkenaan. - BERNAMA

Harakah, Najib Tun Razak, 1MDB

Artikel Berikut

Vape Belum Tentu Selamat- MP PKR

Artikel Lain