KUALA LUMPUR: Akibat menawarkan rasuah RM20,000 bagi mengelak dikenakan tindakan ekoran penerokaan secara haram, seorang peneroka tanah Cameron Highlands dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, Khamis. Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Meng Lee, 45, setelah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini dan sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjara 12 bulan. Meng Lee didakwa memberi rasuah kepada Penolong Pegawai Tanah dan Daerah Cameron Highlands, Pahang, Abdul Rahim Sulaiman, 51, supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya mengikut Seksyen 425, Akta Tanah Negara 1956 iaitu meneroka secara haram di Hutan Simpan Sungai Terla, Kampung Raja dan tanah kerajaan di Blue Valley, Ulu Telom di daerah itu. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tanah kerajaan Blue Valley, Ulu Tenom, Cameron Highlands antara 4 sehingga 5.30 petang pada 7 Okt 2013 mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Ketika prosiding, Rosbiahanin turut menolak permohonan peguam S. Devarandan yang mewakili tertuduh, bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan permohonan membayar denda secara ansuran. "Undang-undang dan peraturan tanah ada di negara kita. Kalau kita tidak ikut undang-undang, akan banyak lagi kejadian buruk yang akan berlaku di Cameron Highlands. "Kamu yang tinggal di sana pun pasti kamu tahu kesan yang berlaku daripada penerokaan haram seperti bencana banjir dan tanah runtuh," kata Rosbiahanin ketika membacakan penghakiman. Dalam rayuan tertuduh, Devarandan memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya kerana perlu menanggung isteri, anak serta bapa yang berusia 82 tahun selain faktor kesihatan Tan yang menghidap penyakit darah tinggi, asma dan pernah diserang angin ahmar. Pegawai Pendakwa daripada SPRM Wan Ahmad Nidzam Wan Omar bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam berikutan kes itu membabitkan isu alam sekitar di Cameron Highlands. Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 13 saksi manakala dua saksi bagi pihak pembelaan.-- Bernama