suria

Sidang Kemuncak Asean: Kesibukan, Beban Kerja Menanti Pemimpin Dan Delegasi

Kawalan keselamatan di sekitar Taman KLCC dekat Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dipertingkat.

KUALA LUMPUR: Kesibukan dan beban kerja menanti 18 ketua negara dan kerajaan yang akan tiba di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-27 dan Sidang Kemuncak berkaitan.

Dua hari di Kuala Lumpur bukanlah satu percutian untuk mereka, kerana mereka mempunyai 10 Sidang Kemuncak dan 59 dokumen untuk diteliti.

Beban kerja bagi pemimpin dan perwakilan begitu berat pada mana-mana Sidang Kemuncak Asean.

Lebih-lebih lagi kali ini sebagai badan serantau, di bawah kepimpinan Malaysia sedang bersedia untuk menyambut kedatangan Komuniti Asean menjelang akhir bulan depan.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Perdana Menteri China Li Keqiang, Perdana Menteri India Narenda Modi akan menjadi antara lapan pemimpin rakan dialog Asean yang akan mempunyai bahagian beban kerja masing-masing yang sama rata.

Mulai esok (Sabtu) hingga Ahad, mereka akan berusaha untuk menerima pakai, menandatangani, atau menyokong 59 dokumen. 

Ini termasuklah Konvensyen Asean Terhadap Pemerdagangan Orang terutama Wanita dan Kanak-kanak, Deklarasi Sidang Kemuncak Asia Timur mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global dan Deklarasi Sidang Kemuncak Asia Timur dalam Menentang Keganasan Pelampau.

Selain Sidang Kemuncak Asean, Sidang Kemuncak lain yang akan diadakan ialah Sidang Kemuncak Asia Timur yang melibatkan semua 18 pemimpin dan persidangan Asean Campur Tiga melibatkan Asean dengan China, Jepun dan Korea.

Kemudian terdapat Sidang Kemuncak Asean yang terdiri daripada mesyuarat berasingan antara Asean dan China, India, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun dan New Zealand, serta Sidang Kemuncak Bangsa-Bangsa Bersatu yang akan diwakili oleh setiausaha agung Ban Ki -moon.

Sidang Kemuncak Asean sentiasa penuh sesak dengan mesyuarat dengan pemimpin dijangka menghadiri banyak mesyuarat tanpa henti dan sesi dua hala.

Sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Asean, banyak yang perlu dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak .

Perdana Menteri akan mempengerusikan semua Sidang Kemuncak dan sesi pleno dan dijangka mengambil bahagian dalam mesyuarat dua hala dengan beberapa rakan dari hari ini hingga Ahad.

Najib akan bertemu Obama, Li, Perdana Menteri Rusia Dmitry Medvedev, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull dan Ban.

Sebahagian pemimpin menganggap persidangan ini adalah sesuatu yang meletihkan dan mencabar.

Artikel Lain