suria

Remaja Mengaku Lahir Bayi Dijumpai Depan Rumahnya

- Gambar hiasan
KUANTAN: Misteri penemuan bayi perempuan di hadapan sebuah rumah di Felda Jengka 3, Maran dekat sini, terungkai selepas seorang remaja perempuan mengaku melahirkan bayi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata gadis berusia 20 tahun itu mengaku melahirkan bayi itu sebelum meletakkannya di atas meja batu di hadapan rumahnya.

Beliau menambah gadis itu merupakan pelajar institusi pengajian tinggi berdekatan dan tinggal di tanah rancangan berkenaan bersama keluarganya.

"Bayi itu telah dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh pada malam tadi untuk rawatan lanjut dan disahkan dalam keadaan baik.

"Ibu kepada bayi berkenaan juga telah menerima rawatan di hospital sama dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya semasa dihubungi di sini, Jumaat.

Mat Rizal berkata remaja itu ditahan sehari sebelum dilepaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan Ketua Unit Pendakwaan.

Semalam, seorang remaja mendakwa menjumpai bayi perempuan dalam keadaan masih bertali pusat tanpa dibalut seurat benang di hadapan rumahnya semasa hendak menjemur pakaian pada pukul 12 tengah hari.

Remaja berkenaan kemudiannya menghubungi ibunya dan mereka membawa bayi itu ke Poliklinik Jengka 3 sebelum membuat laporan polis.

Artikel Lain