suria

Langkah Menerusi AEC Akan Tingkat KDNK Asean

KUALA LUMPUR: Langkah bagi meliberalisasikan dan menyepadukan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) akan meningkatkan keluaran dalam negara kasar secara keseluruhan di rantau ini sebanyak tujuh peratus menjelang 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata dokumen penting 'Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Asean 2025: Maju Ke Hadapan Bersama-sama' yang menggabungkan Visi Komuniti Asean dan akan dikeluarkan pada sidang kemuncak kali ini, akan melancarkan proses penyepaduan itu.

"Ia membabitkan kaedah untuk menyediakan dan memperkukuh proses penyepaduan bagi merealisasikan Komuniti Asean, yang berasaskan peraturan dan berorientasikan rakyat serta Asean berpaksikan rakyat, yang bermatlamat mengurangkan jurang pembangunan."

"Oleh itu, perlunya pasaran asas pengeluaran tunggal yang kita perkatakan selain pergerakan bebas barangan, perkhidmatan, tenaga kerja mahir, modal dan pelaburan," kata Perdana Menteri dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Asean kali ke-27 di sini, Sabtu.

Pada masa ini, halangan bukan tarif yang memberi impak ke atas kehidupan harian serta pekerjaan di seluruh negara anggota Asean, terlalu ekstensif, katanya.

Sebagai komuniti tunggal, antara lain, Asean mesti mengutamakan pelancaran Kad Perjalanan Perniagaan Asean, serta memperkukuh program latihan Asean yang membolehkan pelajar ditempatkan bersama syarikat-syarikat di rantau ini," katanya.

Mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Perdana Menteri berkata 'Asean Micro dan SME Growth Accelerator Exchange' untuk membiayai projek PKS, ditubuhkan semalam bagi menampung keperluan kewangan mereka.

"Ini adalah contoh yang praktikal dan ketara bagaimana Asean mengambil berbeza untuk membantu syarikat yang bekerja keras dan merupakan tulang belakang ekonomi kita," katanya.

Najib yang mempengerusikan Asean tahun ini, berkata persatuan itu membawa manfaat besar yang praktikal dalam menyediakan pembiayaan terus.

Beliau berkata Kawasan Perdagangan Bebas Asean atau AFTA, telah mengurangkan tarif kepada sifar atau hampir sifar, yang secara langsung mengurangkan harga pelbagai barangan dan membolehkan rakyat memiliki lebih banyak wang untuk dibelanjakan untuk keluarga masing-masing.

Najib berkata kedudukan ini berbeza dengan syarikat di rantau ini yang mendapati sukar untuk mengekases pasaran antara anggota tanpa AFTA, dan mengakibatkan kadar pengangguran yang tinggi.

Kadar pengangguran secara menyelurunya dalam kalangan 10 anggota Asean rendah, sebanyak 3.3 peratus – yang menurut pakar ekonomi, bukan sahaja negara malah kejayaan Asean menarik masuk pelaburan langsung asing yang besar," katanya.

Najib berkata rakyat tidak akan dapat menikmati perjalanan bebas visa di sembilan daripada 10 negara anggota, dan profesional akan mendapati kesukaran untuk bekerja di negara lain tanpa Asean dan Perjanjian Perakuan Bersama yang dilaksanakan.

Asean, AFTA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain