KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengulangi komitmen negaranya untuk memerangi Negara Islam (IS) dan aktiviti keganasan. Obama menyifatkan IS sebagai organisasi kejam dan berkata AS dan rakan-rakan gabungannya termasuk Malaysia, tidak akan berhenti sehingga ia dihapuskan. "Kami akan buru pemimpin mereka dan musnahkan rangkaian mereka," katanya pada sidang media di Ritz-Carlton Kuala Lumpur di sini pada Ahad. Obama yang berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-27 berkata, dia dikritik kerana lawatannya ke Asia apabila sebuah akhbar menyifatkannya sebagai "gangguan Obama terhadap Asia". "Rantau ini tidak diganggu," katanya. Obama menegaskan bahawa keselamatan dan pertempuran global terhadap keganasan adalah agenda utama dalam perbincangannya dengan pemimpin-pemimpin di rantau ini. Katanya, beliau menjemput semua 10 pemimpin Asean ke Washington tahun depan untuk meneruskan perbincangan mengenainya. Jelas Obama kesemua pemimpin berkenaan telah menerima jemputannya.