BERA: Tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar yang bergambar bersama anak perempuan bekas ketua pengganas Sulu, Jamalul Kiram III baru-baru ini adalah satu bentuk penderhakaan. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perbuatan Nurul Izzah itu bukan sahaja tidak wajar malah mengguris perasaan rakyat Sabah dan waris anggota keselamatan yang terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas itu dua tahun lepas. "Bagi saya bertemu dengan salah seorang anggota yang mengisytiharkan perang ke atas Malaysia ini sebagai satu tindakan penderhakaan kepada negara yang boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Kanun Keseksaan kerana mengisytihar perang terhadap Yang di-Pertuan Agung. "Kita amat memuji tindakan awal Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan pihak polis akan mengambil tindakan seterusnya terhadap Nurul Izzah sebab ia adalah satu jenayah besar yang tidak boleh dibiar," katanya. Anggota Parlimen Bera itu berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Khatan Perdana Parlimen Bera anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bera di Kompleks Belia dan Sukan, Bera, pada Ahad. Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Bera, Zool Ihsan Ahmad dan Ketua Wanita UMNO Bera, Sabariah Saidan. Seramai 235 kanak-kanak berumur lapan hingga 12 tahun terlibat dalam program berkhatan berkenaan. Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata perbuatan Anggota Parlimen Lembah Pantai itu tidak sensitif dengan perasaan rakyat Sabah yang masih dalam ketakutan ekoran pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang didalangi kumpulan itu. "Nurul Izzah tidak hormati perasaan rakyat Sabah yang takut ketika itu hingga kini yang memaksa kita menubuhkan ESSCOMM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) dan juga pihak Polis Diraja Malaysia kerana yang terbunuh dalam pertempuran itu adalah anggota polis," katanya. Justeru katanya, walaupun Nurul Izzah meminta maaf dan kesal dengan pertemuan bersama anak perempuan Jamalul Kiram 111, Jacel Kiram, ia tidak boleh diterima dengan mudah kerana perbuatan itu akan menjadi ikutan pihak lain. "Sepatutnya Nurul Izzah sedar lebih awal lagi, ia adalah satu kesalahan dan permohonan maaf itu tidak boleh kita terima dengan mudah sebab ia akan beri isyarat yang tidak bagus pada pihak lain dan mereka berkemungkinan akan membuat kesilapan yang sama," katanya. Nurul Izzah sebelum ini menyatakan kekesalannya berhubung penyebaran gambar berkenaan dan menegaskan, beliau tidak sekali-kali memanggil mesyuarat atau pertemuan dengan Jacel Kiram dan tidak pernah berkenalan dengan wanita tersebut. Katanya Jacel merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Majlis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia Untuk Demokrasi, Pejabat Datuk Bandar Manila dan Pejabat Naib Presiden Filipina. Semua yang hadir pada majlis itu bergambar dengan beliau sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta.