KUALA LUMPUR: Malaysia secara simbolik menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Laos apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan upacara itu dengan menyerahkan tukul kepada rakan sejawatnya dari Laos, Thongsing Thammavong. Upacara itu berlangsung pada majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dihoskan Malaysia di sini selaku pengerusi ASEAN 2015. Logo dan tema 'Menukarkan Visi Menjadi Realiti bagi Komuniti ASEAN Dinamik" yang akan digunakan Laos selaku pengerusi ASEAN 2016 turut dipamerkan pada upacara itu. Dalam ucapannya, Thammavong berkata negaranya akan terus menggalakkan kerjasama efektif ke arah membina Komuniti ASEAN yang dinamik dan makmur. "Laos akan menyumbang terhadap perjuangan bersama dalam mengekalkan dan menggalakkan keamanan, kestabilan dan pembangunan di rantau ini," katanya. Thongsing memuji dan mengucapkan tahniah kepada Najib bagi kepimpinannya dalam mengemudi ASEAN sepanjang 2015 yang telah membawa banyak pencapaian baharu, terutamanya pembentukan Komuniti ASEAN secara rasminya dan menerima pakai visi bagi komuniti itu untuk 10 tahun akan datang. "Pembinaan Komuniti ASEAN adalah proses berterusan yang akan terus berkembang pada tahun-tahun akan datang," katanya. Beliau berkata Deklarasi Kuala Lumpur bagi ASEAN 2025: Maju Bersama yang menggariskan Visi Komuniti ASEAN 2025 dan pelan tindakannya bagi tiga tonggak komuniti yang diterima pakai oleh pemimpin akan dapat memperkukuhkan lagi Komuniti ASEAN pada tahun-tahun akan datang.