suria

Laporan Ketua Audit: PAC Akan Panggil Tujuh Kementerian

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil tujuh kementerian untuk prosiding susulan pembentangan Laporan Ketua Audit (LKAN) siri 3/2014 pada Isnin.

Pengerusinya, Datuk Hasan Ariffin berkata, ia melibatkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi pengurusan beras ST15 peratus dan S15 peratus, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah berhubung Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat Orang Asli (Jakao).

Menurutnya, kementerian lain adalah Kementerian Pendidikan - pengurusan projek-projek pembinaan sekolah menengah kebangsaan agama dan kemudahan lain berkaitan di Sarawak, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan - projek naik taraf Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.

Katanya, ini termasuk Kementerian Dalam Negeri bagi pengurusan kuaters Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pertahanan berhubung Projek Pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional Putrajaya (Puspahanas).

Ditanya bilakah kesemua kementerian berkenaan akan dipanggil PAC untuk prosiding, Hasan berkata, ia dijangka dilakukan pada Februari tahun depan.

"Kita akan siapkan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dahulu. Jadi, mungkin Februari tahun depan," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, Isnin.

Mengenai LKAN siri 3/2014, Hasan berkata, secara keseluruhan PAC tidak berpuas hati dengan prestasi pengurusan kewangan melibatkan kesemua kementerian dan jumlah agensi yang merosot.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menubuhkan 12 Jawatankuasa Siasatan Khas (JSK) untuk meneliti 12 isu yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.

Selain itu katanya, PAC berpendapat bahawa sesi 'townhall' yang diadakan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) bersama semua Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian dianjurkan dengan lebih kerap.

"Pada masa sama, PAC juga mahu semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan Persekutuan termasuk negeri memperkasakan Unit Audit Dalam (AUD) masing-masing dalam usaha mengelakkan ketirisan, penyelewangan dan salah guna kuasa," kata Hasan.

PAC, Laporan Ketua Audit

Artikel Sebelum

Artikel Lain