IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 365 orang daripada 94 keluarga dengan dua lagi pusat pemindahan di buka di Sungai Siput, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Yahya Madif. Beliau berkata mangsa banjir terbaru di Sungai Siput membabitkan 18 orang daripada empat keluarga dari Kampung Lasah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Lasah manakala 50 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Tok Sirat, ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat. "Kampung-kampung tersebut dilanda banjir awal pagi tadi berikutan hujan lebat dan menyebabkan rumah mereka dinaiki air setinggi 0.2 meter hingga 0.5meter," katanya ketika dihubungi pada Isnin. Beliau berkata jumlah mangsa banjir di daerah Bagan Serai pula membabitkan Kampung Changkat Lobak, Kampung Matang Tengah dan Air Hitam masih kekal dengan 63 orang daripada 15 keluarga. Kesemua mereka masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, katanya. Beliau berkata 51 orang daripada 16 keluarga dari Bukit Merah Batu 38 dan Batu 40 di daerah Bagan Serai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah. Di daerah Hilir Perak, Yahya berkata seramai 73 orang daripada 20 keluarga dari Kampung Mesra Batu 7, Changkat Jong, Lorong Mesra, Batu 9, Lorong Kedah dan Kampung Baru Batu 8 masih berada di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan. "Sementara itu, seramai 27 orang daripada enam keluarga membabitkan penduduk di Parit 7, Teluk Intan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara," katanya. Sementara itu, mangsa tanah runtuh dari Kampung Padang Serai, Pengkalan Bharu di Pantai Remis masih kekal 83 orang daripada 22 keluarga dan mereka ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai. Katanya agensi yang terlibat membantu mangsa banjir ialah JBPM, RELA, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.