suria

Daging Hidupan Liar Dijual Secara Meluas Di Sabah

KOTA KINABALU: Pelbagai daging hidupan liar dijual secara meluas di pasar peladang dan juga kepada pengunjung tempatan di Sabah walaupun negeri itu sudah melakukan serbuan terhadap aktiviti penjualan haram daging berkenaan.

Daging hidupan liar ini termasuklah babi hutan dan juga spesies yang dilindungi seperti rusa yang dijual di pasar Nabawan yang terletak kira-kira 200 kilometer dari ibu negeri itu, kata penyokong pemuliharaan hidupan liar Fairul Pat Lingam.

Fairul, 40 berkata dia singgah ke pasar berkenaan semasa lawatan pada Sabtu dan sedang mengambil gambar pelbagai jenis daging hidupan liar yang dijual secara terbuka, dan kemudian dia diugut seramai 12 hingga 15 orang yang mula mengelilinginya.

Katanya dia kemudian berjalan meninggalkan tempat berkenaan kerana dapat merasai ancaman.

Selepas pulang ke Kota Kinabalu, Fairul membuat laporan polis pada Ahad mengenai penjualan daging hidupan liar di Pasar Nabawan dan juga diugut tembak oleh seorang penjual daging berkenaan jika dia kembali ke situ.

Pasar Nabawan yang beroperasi pada setiap Selasa dan Sabtu juga dikatakan sebagai lokasi panas bagi penjualan daging hidupan liar yang mana renjer Jabatan Hidupan Liar Sabah juga pernah menerima ugutan sebelum ini.

Fairul berharap polis dan jabatan hidupan liar akan mengambil tindakan terhadap perniagaan haram dan menceroboh hidupan liar di Sabah.

Ketua Polis Bandar Raya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata kes itu akan dihantar ke Jabatan Hidupan Liar manakala kes ugutan jenayah akan disiasat oleh polis Keningau.

Pegawai Hidupan Liar berkata daerah Nabawan di selatan Sabah antara lokasi panas sejak kebelakangan ini disebabkan oleh rangkaian jalan yang menghubungkan sehingga ke Tawau.

Mereka juga tidak menafikan kemungkinan daging hidupan liar yang dijual di Nabawan itu adalah dari binatang yang diburu secara haram di Maliau Basin atau kawasan hutan simpanan di Tawau dan Lahad Batu.

Sabah, Rusa

Artikel Sebelum

Artikel Lain