KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan pemeteraian deklarasi mengenai pembentukan Komuniti ASEAN merupakan saat yang amat mengharukan dan amat peribadi bagi dirinya. Perdana Menteri berkata apa yang amat menyentuh perasaannya ialah beliau meneruskan legasi almarhum ayahanda beliau Tun Abdul Razak Hussein dalam perkembangan perkumpulan serantau itu yang ditubuhkan pada 1967. Najib berkata beliau diselubungi emosi apabila ditakdirkan untuk menandatangani dokumen bersejarah itu, meneruskan apa yang dimulakan oleh ayahandanya 48 tahun dahulu yang ketika itu merupakan menteri luar. "Ia merupakan saat yang amat peribadi bagi diri saya dan saya amat terharu," katanya pada sidang media selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini. "Saya tidak pernah bayangkan yang saya akan menandatangani dokumen ini 48 tahun kemudiannya. Ini merupakan perkembangan yang paling penting dalam sejarah ASEAN," katanya. Pada 1967, Tun Razak yang ketika itu menteri luar menyertai empat rakan sejawatannya dari empat lagi negara di rantau ini telah menandatangani Deklarasi Bangkok yang membawa kepada penubuhan ASEAN. Terdahulu, dalam ucapannya pada upacara pemeteraian Komuniti ASEAN 2015, Najib berkata beliau berumur 15 tahun ketika almarhum ayahandanya bersama-sama Adam Malik dari Indonesia, Narciso R. Ramos dari Filipina, S. Rajaratnam dari Singapura dan Thanat Khoman dari Thailand menandatangani deklarasi itu.