Pengarah JPS Kelantan Shahimi Sharif berkata antara projek yang telah dan sedang dilaksanakan ialah membersih, mendalam dan membaik pulih tebing sungai di negeri ini.
"Ini bagi melicinkan aliran arus sungai ke Laut China Selatan bagi mengurangkan risiko banjir apabila hujan lebat berterusan," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.
Beliau diminta mengulas mengenai amaran Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai kemungkinan berlaku hujan lebat bermula 26 atau 27 Nov ini di negeri pantai Timur Semenanjung.
Beliau berkata bagi kerja pembaikan yang melibatkan peralatan menyukat data hujan, aras air sungai dan siren amaran banjir yang rosak telah siap dilaksanakan.
"Ini termasuk membaik pulih kerosakan pagar dan alat penyukat hujan di stesen Gua Musang dan Aring (Gua Musang)," katanya.
Beliau berkata JPS juga akan memantau dua pintu kawalan air pasang surut di Geting, Tumpat dan Tok Bali di Pasir Puteh, kemungkinan peningkatan paras air laut yang boleh menyebabkan keadaan lebih buruk di kedua-dua jajahan itu.
"Apabila air laut pasang tinggi dan serentak dengan hujan lebat di daratan, ini boleh menyebabkan air daripada sungai tidak dapat mengalir ke laut dan mengakibatkan banjir," katanya.