GEORGE TOWN: Lebih 100 pencinta haiwan berarak dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ke Komtar, meminta kerajaan negeri berhenti membunuh anjing liar. Semasa berarak, kesemua pencinta haiwan itu berteriak 'Hentikan membunuh, mulakan pemandulan'. Matlamat utama mereka adalah untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan Pulau Pinang dan memberi kesedaran terhadap tindakan membunuh anjing liar oleh MBPP. Motif utama perhimpunan tersebut adalah menamatkan perbuatan kejam membunuh anjing dan kucing liar oleh kakitangan MBPP dan memberi peluang kepada orang ramai untuk memelihara haiwan-haiwan yang ditangkap itu. Wakil perhimpunan aman itu, Narashini Vannamalai berkata mereka tidak menentang tindakan kerajaan negeri atau mana-mana parti politik, namun memberi hak kepada haiwan-haiwan terbiar itu untuk terus hidup dan mendapat penjagaan yang baik. Beliau mendakwa perbuatan membunuh itu tidak dihentikan selepas wabak anjing gila dapat dibendung di Pulau Pinang sejak September lepas. Kelly Khor Hooi Ling, 49, berkata beliau pernah melihat kakitangan MBPP menangkap anjing liar di Paya Terubong semasa tengah malam. Perhimpunan itu dirancang beberapa minggu lepas dalam Facebook dan peserta terdiri daripada aktivis pencinta haiwan.