suria

Ketua Wanita Umno Gopeng Dipecat

Hamidah Osman.

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman dipecat daripada jawatan dan keahlian dalam parti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemecatan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, petang Selasa.

"Dalam soal disiplin MT Umno sebulat suara memutuskan Datuk Hamidah Osman telah dipecat daripada jawatan dan ahli Umno atas perlanggaran disiplin.

"Perkara-perkara lain kita ada bincang tapi kita tak ambil keputusan," katanya pada sidang media ringkas selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di bangunan sementara Parlimen, di sini.

Mesyuarat berlangsung selama kira-kira satu jam setengah bermula pukul 6 petang.

Hamidah sebelum ini pernah memegang jawatan ketua penerangan Wanita Umno dan exco kerajaan negeri Perak.

Lantang mengkritik kepimpinan Najib yang juga presiden parti, namanya disebut-sebut sebelum ini tersenarai dalam pemimpin Umno yang akan dipecat.

"Saya berprinsip setia kepada parti, bukan setia kepada pemimpin. Saya tegaskan perdana menteri harus berundur dengan meletakkan jawatan.

“Takkan lebih tiga juta orang (ahli Umno) nak kena berkorban demi seorang pemimpin? Sepatutnya seorang pemimpin yang perlu berkorban untuk tiga juta orang,” beliau dipetik sebagai berkata kepada Sinar Harian.

Pemecatan Hamidah ini sekali gus menolak khabar angin bahawa mesyuarat kali ini akan menyaksikan timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal akan dipecat.

Artikel Lain