suria

SPRM Buat Laporan Polis, Kononnya Tawar Ganjaran Guna Dana RM2.6 Bilion

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis berhubung penyebaran maklumat palsu kononnya suruhanjaya itu menawarkan ganjaran atau pampasan menggunakan wang RM2.6 bilion, iaitu kes yang sedang disiasat SPRM.

Dalam kenyataan pada Selasa, SPRM berkata, maklumat disebarkan di media sosial itu adalah palsu dan dipercayai dikeluarkan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

"SPRM menegaskan suruhanjaya ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM mengumumkan RM2.6 bilion (USD700 juta) dari akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diisytiharkan sebagai sumbangan untuk dibayar kepada rakyat Malaysia yang komited menentang keganasan," menurut kenyataan itu.

SPRM berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat penyebaran maklumat palsu itu, kerana ia secara langsung menjejaskan nama dan reputasi suruhanjaya berkenaan.

Orang ramai yang menerima maklumat dimaksudkan, dinasihat agar tidak terpengaruh dan pada masa sama tidak menyebar atau menghantar mesej tersebut kepada pihak lain, menurut kenyataan itu.

SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Lain