suria

Sidang Khas TPPA Dijangka Diadakan Di Parlimen Januari Depan

SEREMBAN: Satu sidang khas mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dijangka diadakan di Parlimen pada 26 Januari, 2016, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Beliau, bagaimanapun berkata, persidangan khas tersebut tertakluk kepada kelulusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Biasanya jika mengikut Perlembagaan, sebarang perkara yang berkaitan dengan perdagangan ia boleh diputuskan oleh Kabinet.

"Tetapi kali ini kerana kita rasa TPPA adalah perkara yang penting maka kita bawa ke Parlimen untuk 222 orang ahli Parlimen membahaskannya dan membuat pengundian," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman rakan kongsi strategik bagi projek Senawang Exhibition and Convention Centre di sini, Rabu.

Malaysia dan 11 lagi negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun,  Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam memuktamadkan rundingan TPPA pada 5 Oktober 2015.

Kandungan TPPA dan dua kajian impak akan dibentangkan di Parlimen memandangkan ia memerlukan kelulusan Parlimen sebelum diratifikasikan dalam tempoh dua tahun selepas ditandatangani.

Ka Chuan berkata, jika TPPA ini diluluskan, ia memerlukan dua tahun lagi untuk  dilaksanakan kerana melibatkan pengubalan perundangan.

Dalam tempoh dua tahun itu, katanya, semua 12 negara terlibat perlu membuat penyesuaian dari segi perundangan negara masing-masing dan selepas menandatanganinya, baru ia dilaksanakan.

Sementara itu, katanya, mulai 1 Januari 2016, Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang melibatkan 10 negara dengan penduduk seramai 620 juta orang, akan bergabung menjadi satu 'ekonomi'.

Beliau berkata, ia akan melibatkan pergerakan bebas barangan, perkhidmatan, pekerja mahir dan profesional, modal serta pelaburan. 

"Jadi, Malaysia juga dalam keadaan ini di mana barangan kita akan dapat pergi ke negara lain tapi berdasar kepada satu hakikat iaitu kita juga tidak boleh menghalang barangan negara lain masuk ke negara ini.

"Ini adalah satu trend untuk memudahkan e-Dagang di mana kita boleh beli barang melalui internet (dalam talian). Ini adalah satu era di mana e-Dagang akan jadi satu kecenderungan yang popular pada masa hadapan," katanya.-- Bernama


TPPA, Miti, Ong Ka Chuan, Dewan Rakyat

Artikel Lain