KUALA LUMPUR: Kira-kira RM2.25 juta kos pengoperasian pasangan panda gergasi China, Xing Xing dan Liang Liang dan penyelenggaraan Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) ditanggung oleh Zoo Negara setiap tahun. Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri berkata kira-kira RM6 juta kos konservasi turut ditanggung oleh Zoo Negara untuk dibayar kepada pihak China sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian Malaysia-China pada tahun lepas. "Oleh kerana panda gergasi betina, Liang Liang telah melahirkan seekor anak panda pada 15 Ogos lepas, sumbangan yuran konservasi sebanyak US$600,000 akan diberikan sekali sahaja kepada China selepas anak panda tersebut berusia setahun," katanya ketika menjawab soalan Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Kubang Kerian) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu. Ahmad Baihaki ingin mengetahui tentang kos sewa dan sara hidup pasangan panda gergasi sejak kedatangannya dari China pada tahun lepas. Hamim berkata kemasukan pasangan panda gergasi itu selain mengeratkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, ia juga menggalakkan aktiviti penyelidikan konservasi dalam kalangan pakar dari kedua-dua negara. "Ia juga menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara apabila dalam sektor pelancongan, pengunjung ke Zoo Negara telah bertambah 20 peratus iaitu dari 588,000 orang pada tahun 2013 sehingga kira-kira 700,000 orang pada tahun 2014," katanya. Menjawab soalan tambahan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berkenaan jumlah panda yang masih hidup di dunia, Hamim berkata kira-kira 1,800 ekor panda di seluruh dunia yang masih hidup, termasuk sebanyak 397 ekor yang dibela di zoo. "Oleh kerana haiwan sedemikian hampir pupus di dunia, kita harus rasa bangga kerana kemasukan pasangan panda gergasi itu dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia terlibat dalam projek konservasi yang dapat menyemaikan budaya memelihara alam sekitar secara konsisten," katanya.